Khamis, 23 Jun 2016

‘Tertuduh jadi wira, SPRM jadi barua’

MALAYSIAKINI


Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull kesal dengan polarisasi politik berhubung siasatan rasuah yang sering menyaksikan tertuduh dipertahankan manakala suruhanjaya itu dibidas kerana cuba menjalankan tugas.

"Di Malaysia jika kita menyiasat seorang ahli politik, keseluruhan parti akan menyokong tertuduh.

"Dan tertuduh menjadi wira, manakala SPRM pula menjadi barua," katanya dalam sebuah rakaman video di YouTube.

Katanya, orang ramai dan parti politik seharusnya menyokong SPRM dalam mana-mana siasatan rasuah kerana ia akan mengeluarkan "kanser" yang memusnahkan masyarakat dan parti politik itu sendiri.

"Apabila kita menyiasat (seseorang) individu.... Orang ramai perlu dan mesti menyokong SPRM.

"Kamu tahu mengapa? Kerana kita cuba mengeluarkannya, mengeluarkan semua ini dari parti. Jika kita mengekalkannya, ia sama seperti kanser, ia akan merosakkan parti," katanya.

Shukri bagaimanapun berkata bahawa mungkin adalah baik bagi SPRM dilabel sebagai anjing kerajaan mahupun atau alat pembangkang kerana ini menunjukkan bahawa mereka benar-benar tidak berat sebelah dan melaksanakan tugas tanpa mengira sempadan politik.

Tetapi beliau menambah bahawa retorik itu tidak baik untuk Malaysia dalam usaha untuk membasmi rasuah.
Beliau berkata SPRM teruk dibidas oleh penyokong parti politik dalam beberapa kes-kes apabila mereka menyiasat Umno, PKR dan ahli-ahli politik DAP.

Dalam keadaan tertentu, katanya, penyokong mereka mengadakan demonstrasi jalanan.

Shukri berkata ini adalah antara cabaran yang dihadapi suruhanjaya itu dalam menjalankan tugasnya untuk membawa perasuah ke muka pengadilan.

Tiada ulasan: