Sabtu, 4 Jun 2016

SPRM mula siasat MBI

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) menjadi sasaran awal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah dalam kerajaan negeri itu.
 
SPRM dilaporkan menyoal siasat beberapa pegawai MBI di samping mengambil dokumen berkenaan Rabu lalu.
 
Kerajaan negeri pimpinan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terpalit dengan siasatan itu susulan laporan SPRM yang dibuat oleh Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli awal minggu ini.
 
Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail memberi arahan untuk Rafizi membuat laporan itu, sungguhpun dakwaan rasuah berkenaan dinafikan oleh Azmin.
 
Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki mengesahkan pihaknya  menyoal dua pegawai kanan MBI, lapor Malay Mail.
 
“Ini adalah sebahagian daripada siasatan kami berhubung dengan laporan yang dibuat oleh Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli,” kata beliau.
 
Beliau berkata buat masa ini SPRM tidak bercadang untuk menyoal menteri besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung siasatan berkenaan yang masih di peringkat awal.
 
Rafizi sebelum ini mendakwa menerima  aduan wujud elemen rasuah termasuk permintaan untuk khidmat seks dalam kerajaan negeri.
 
Dakwaan itu dilihat sebagai pusingan terbaru perbalahan dalaman PKR yang semakin meruncing akhir-akhir ini.
Azmin dituduh oleh sesetengah pemimpin sebagai cuba mencuri dan menghakis pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Wan Azizah di dalam parti itu.
 
Pada masa sama penyokong tegar menteri besar itu berkata Azmin hanya mahu membawa parti itu keluar daripada takuk lama sesuai dengan realiti politik semasa.
 
MBI yang menjadi sasaran SPRM, adalah syarikat mikil penuh kerajaan negeri yang menyelia pengurusan and operasi kesemua 12 syarikat kaitan kerajaan negeri, melibatkan aset puluhan bilion ringgit.
 
Azmin adalah pengerusi lembaga pengarah MBI.
 
 

Tiada ulasan: