Isnin, 13 Jun 2016

Simbol ‘Adidas’ bagi sokong DAP, kata Guan Eng

MALAYSIAKINI


DAP mengakui berdepan cabaran untuk melobi undi bagi Parti Amanah Negara (Amanah) kerana masih terdapat pengundi Cina di Sekinchan yang keliru dengan parti itu yang bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata segelintir masyarakat Tionghua di kawasan itu ketika ditemui memaklumkan mereka keliru dengan simbol Amanah kerana lazimnya melihat DAP dengan lambang 'roket'.

"Kita datang merayu undi dengan penduduk tempatan. Respons adalah sangat menggalakkan tapi ada sedikit kekeliruan tentang simbol. Ini kerana mereka (penyokong Cina) kenal 'roket' tapi roket tidak bertanding.

"Kita kena perkenalkan (simbol) Amanah di mana YB Ng Suee Lim telah samakan simbol 'adidas' ataupun 'tiga segi' (bagi menyokong DAP)," katanya kepada pemberita selepas tinjauan mesra di perkampungan nelayan Bagan Sekinchan, lewat petang semalam.

PRK kali ini merupakan penyertaan pertama kali Amanah yang meletakkan calonnya bertanding dalam pilihan raya di Semenanjung sejak ditubuhkan pada 16 September 2015.

Pengundian serentak bagi PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar ditetapkan pada 18 Jun ini, manakala pengundian awal pada 14 Jun.


Tiada ulasan: