Sabtu, 25 Jun 2016

Saya terima pemecatan tapi berjanji terus perjuang nilai moral dan integriti - Muhyiddin

Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima pemecatannya daripada parti itu, namun berjanji akan terus memperjuangkan nilai-nilai moral dan integriti.
 
"Saya redha dengan ketentuan Allah s.w.t. Saya telah melaksanakan tanggungjawab saya sebagai pemimpin Umno dan akan tetap terus melaksanakan tanggungjawab saya kepada agama, bangsa dan negara seperti pejuang-pejuang bangsa kita sebelum ini.
 
"Namun, jika mereka beranggapan perjuangan saya berkubur di sini, mereka silap. Saya akan terus berjuang selagi hayat dikandung badan. Biarlah mereka memecat saya dan melakukan apa sahaja untuk melunturkan semangat juang saya. Obor perjuangan di dalam jiwa saya akan terus menyala," tulis Muhyiddin di laman Facebooknya, petang ini.
 
Muhyiddin berkata beliau tidak akan membuat rayuan meskipun mendakwa keputusan menggantung jawatannya sehingga ke pemecatannya tidak berlandaskan Perlembagaan parti.
 
"Keputusan pemecatan saya ini telah pun saya duga dari awal. Maka semalam berakhirlah sejarah panjang perjalanan hidup saya yang penuh liku di dalam UMNO. Sejarah ini akan terus terpahat dalam ingatan saya kerana UMNO telah sekian lama menjadi sebahagian daripada denyut nadi dan darah daging saya. Hakikat ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun hatta diri saya sendiri. Saya tidak pernah mengkhianati Umno.
 
"Saya menganggap pemecatan saya ini adalah satu lagi dugaan Allah s.w.t terhadap saya dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Saya yakin segala yang berlaku ada hikmahnya," ujarnya.
 
Majlis Tertinggi (MT) Umno pada Jumaat mengumumkan keputusan memecat Muhyiddin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir. 
 
Selain dua tokoh politik itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal juga digantung keahliannya daripada parti. 
 
Ketiga-tiga hukuman itu berkuatkuasa serta merta.
 
Muhyiddin, Muhkriz dan Shafie didapati bersalah selepas mengkritik Umno dan pimpinan tertingginya secara terbuka.
 
Malah mereka mempersoalkan kemelut isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana RM2.6 bilion walhal perkara tersebut dalam siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
 
 

Tiada ulasan: