Sabtu, 4 Jun 2016

Saya sokong calon wanita, tetapi Mastura tak sesuai – Kamilia

 
Kamilia berpendapat, ramai pemimpin dalam Wanita dan Puteri UMNO Perak yang lebih layak untuk dicalonkan pada PRK Kuala Kangsar.


Datuk-Kamilia-Ibrahim


KUALA LUMPUR: Bekas Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim menyifatkan tindakan parti itu menurunkan Datin Mastura Mohd Yazid di PRK Parlimen Kuala Kangsar sebagai langkah yang silap dan hanya mengundang sabotaj kepada kempen BN.

Beliau menjangkakan pencalonan balu Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad itu bakal mengundang perpecahan di dalam UMNO Bahagian Kuala Kangsar memandangkan bukan semua pihak yang menyenanginya.

“Walaupun dahulu UMNO kata inginkan calon lelaki bagi menggantikan Tan Sri Rafidah Aziz, saya mengalu-alukan pemilihan calon wanita pada PRK kali ini.

“Tetapi Mastura bukanlah orang yang sesuai. Kedudukannya sebagai balu bekas ahli Parlimen bukanlah sebab yang cukup untuk mewakili rakyat Kuala Kangsar,” katanya dalam wawancara bersama FMT.

Beliau berkata, UMNO sepatutnya memilih calon daripada kepimpinan Wanita UMNO Perak sebagai pengiktirafan terhadap pergerakan itu.

“Adakah Mastura daripada kepimpinan parti? Jika tidak, kenapa tidak pilih mana-mana pemimpin Wanita Perak,” katanya yang memuji langkah PAS mencalonkan Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad.

“Itu adalah pengiktirafan kepada kedudukan dalam parti. Mengapa UMNO tidak memberi pengiktirafan yang serupa?” soalnya lagi.

Pemangku Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan sebagai berkata, pemilihan Mastura dibuat berdasarkan lima faktor, iaitu berlatar belakang profesional; memahami keadaan di Kuala Kangsar, bergaul dengan masyarakat setempat dan memahami kehendak kepimpinan UMNO Bahagian serta ahli Wanita dalam parti itu.

Mengulas perkara itu, beliau berkata, ramai lagi individu dalam kepimpinan Wanita dan Puteri UMNO Perak yang memiliki kriteria sama.

“Saya bangkit (bertanding sebagai calon Bebas pada PRU13) sebab orang persoalkan tiadakah wanita dari Perak atau Kuala Kangsar yang layak? Hari ini pun saya lihat sejumlah pemimpin dalam Wanita dan Puteri layak.

“Nampaknya kali ini lebih kepada sentimen calon sebagai balu Allahyarham. Tetapi adakah itu sahaja memadai?” soal bekas senator itu lagi.

Sepanjang kira-kira 30 tahun berada dalam UMNO, Kamilia lantang menegakkan kedudukan pergerakan Wanita dalam parti itu.

Beliau pernah mendesak ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Jalil meletak jawatan kerana mendakwa kaitan Shahrizat dalam skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) menjatuhkan imej pergerakan itu.

Beliau dipecat daripada UMNO pada 2013 selepas bertanding sebagai calon Bebas di kawasan Parlimen Kuala Kangsar untuk memprotes kepimpinan parti yang menurutnya meminggirkan Wanita UMNO pada PRU13

Tiada ulasan: