Sabtu, 25 Jun 2016

"Rumah Tangga Umno Bercempera, Rakyat Jadi Mangsa"


 
Oleh USTAZ DR AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI


1. Rakyat tetap tidak mendapat sebarang manfaat dari perkembangan terbaru Umno yang bertindak memecat Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Ahli Majlis Tertingginya, Dato' Seri Mukhriz Mahathir. Sebaliknya kepentingan rakyat kekal berada paling akhir dalam senarai projek Umno.


2. Umno dalam pergaduhan sesama mereka tetap sibuk mengaut dan memfaraid hak rakyat serta hasil negara atau negeri melalui jawatan-jawatan yang direbut. Rumah tangga mereka porak peranda, malangnya rakyat dan negara menjadi mangsa kerana diabaikan.
3. Khususnya rakyat negeri Kedah, sejak memberi mandat kepada Umno-BN kembali memerintah tiga tahun dahulu, terus melopong tanpa pembelaan atau menerima sebarang perkongsian untung dari pembangunan negeri.

4. Terbukti batang tubuh Mukhriz hanya dijadikan umpan pertaruhan sebagai Menteri Besar untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak. Pelbagai janji manis dan enam projek mega serta perubahan yang kononnya tidak pernah dilihat, jelas sebuah mitos angan-angan Mat Jenin. Sebaliknya rakyat bagaikan jatuh ditimpa tangga.

5. Kepentingan dan kebanggaan rakyat Kedah seperti rangkaian Maahad Mahmud, diserah kepada pihak lain. Kolej Universiti Insaniah (KUIN) umpama bola yang disepak ke sana ke mari serta mengalami kemerosotan teruk pengambilan pelajar. Manakala Maahad Tahfiz Sains Darul Aman (MTSD) tidak diteruskan pembangunan sebagaimana diluluskan.

6. Begitu juga kenaikan Cukai Tanah, caj-caj perbandaran, pengambilan tanah dengan harga tidak kompetitif, isu perkhidmatan bekalan air SADA, pembangunan perumahan mampu milik tidak rancak dan terlepas penajaan untuk Persatuan Bola Sepak Kedah. Semuanya sebahagian daripada kegagalan Umno-BN memberi tumpuan kepada Kerajaan Negeri Kedah.

7. Keadaan ini mengheret negeri dan rakyat kepada situasi tidak menentu serta tanpa pentadbiran sewajarnya. Permainan politik seperti ini bukan sahaja akan membantut kemasukan pelaburan asing, bahkan banyak projek dari Kerajaan Persekutuan bakal diheret ke kancah birokrasi kepuakan.

8. Pastinya tabiat tikam menikam dan saling menjatuhkan yang menjadi budaya perebutan jawatan dalam Umno akan semakin memuncak di Kedah selepas ini. Ia hanya mungkin reda dengan pemecatan lebih ramai lagi atau Umno terus 'mendedak' para pemberontaknya dengan kebendaan.

9. PAS Negeri Kedah tegas berpegang bahawa penyelesaian kepada semua kemelut politik ini adalah dengan perubahan sistem dan dasar secara menyeluruh. Pertukaran individu Umno-BN telah terbukti hanya untuk kepentingan peribadi dan parti mereka sahaja.

10. Rakyat perlu membentuk kebersamaan dengan PAS menyelamatkan negeri dan negara ini dari terus dihakmilik peribadikan Umno-BN. PAS menawarkan penyelesaian berteraskan Islam di mana menjamin pemeliharaan hak untuk semua, serta menunaikan tanggung jawab yang akan dipersoal dihadapan Allah SWT.

*  USTAZ DR AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI, Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah

Tiada ulasan: