Isnin, 6 Jun 2016

Rumah Bilal terbakar di Sungai Besar

ANTARAPOS.COM


Post Pic


SUNGAI BESAR: Lima sekeluarga berdepan nasib malang ketika waktu solat Tarawih pertama Ramadan tahun ini apabila rumah papan dua tingkat yang didiami mereka di Kampung Sungai Limau di sini terbakar.

Rumah tersebut, milik Musolli Resad, seorang bilal masjid terbakar kira-kira pukul 8.30 malam, ketika kebanyakan penduduk kampung beragama Islam sedang sibuk ke surau dan masjid untuk menunaikan solat Tarawih pertama mereka.

Musooli, 63, berkata beliau dimaklumkan tentang kejadian ini oleh penduduk kampung ketika hendak solat Tarawih di masjid berhampiran.

“Habis semuanya. Saya telah keluarkan RM2,000 sebagai persediaan berpuasa, saya orang tua susah nak keluarkan sikit-sikit duit dari bank. Takdir Tuhan jadi begini.

“Semua dokumen habis terbakar, kami tinggal sehelai sepinggang,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian, malam Ahad.

Katanya, dua anaknya sedang berada di dalam rumah ketika kejadian tetapi berjaya menyelamatkan diri.
Isterinya Juminah Rusdi, 60, juga sedang berada di masjid bersama menantunya.

Juminah yang mengambil upah menjahit baju berkata beliau menanggung kerugian kira-kira RM1,000 apabila kain dan pakaian yang ditempah hangus dalam kebakaran itu.

Anaknya, Siti Aina Atikah, 25, berkata dia telah terhidu bau hangit dan apabila dia keluar dari biliknya, dia melihat api telah merebak ke tiga bilik lain.

Buat masa ini Musolli berkata beliau dan keluarga akan menumpang di rumah adiknya di kawasan berhampiran.

Pasukan Bomba dan Penyelamat telah mengerahkan dua buah kereta bomba untuk memadamkan kebakaran.

Hampir 70 peratus bahagian rumah itu telah terbakar.

Difahamkan, calon Barisan Nasional Budiman Mohd Zohdi sedang dalam perjalanan ke tempat kejadian.





Tiada ulasan: