Khamis, 23 Jun 2016

Rombakan besar-besaran SPRM, dua pegawai kanan berundur

MALAYSIAKINI


Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed akan digantikan tidak lama lagi dan penggantinya dipercayai adalah seorang pegawai kanan dari Jabatan Peguam Negara.

Sumber yang rapat dengan perkara itu membayangkan bahawa Abu Kassim diberi tekanan oleh Pejabat Perdana Menteri untuk mengosongkan jawatannya. Beliau akan meletak jawatan pada 1 Ogos.

Lebih menggemparkan lagi, Timbalan Ketua Pesuruhjaya, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull juga dikatakan akan bersara bulan depan, manakala tiga panel utama SPRM dibiarkan kosong.

Panel Penilaian Operasi (ORP) dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (CCPP) kosong sejak 24 Februari lalu, manakala Jawatankuasa Khas di Pencegahan Rasuah kosong sejak bulan lalu.

ORP dikatakan banyak mengkritik keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang membersihkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mereka juga mahu siasatan lanjut, termasuk SPRM diberikan kuasa Bantuan Hukum Timbal Balik atau ‘Mutual Legal Assistance’ untuk menjalankan siasatan di luar negara.

Sementara itu, CCPP menentang langkah kontroversi memindahkan dua pegawai kanan SPRM Julai lalu - Pengarah Operasi Khas, Datuk Bahri Mohd Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob.

Spekulasi bahawa Abu Kassim akan diberhentikan meskipun kontraknya berlangsung sehingga 2018, mula tersebar awal tahun ini.

Tiada ulasan: