Sabtu, 25 Jun 2016

Rasuah Selangor: Tiada apa yang hendak disembunyikan, kata Azmin

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali menegaskan kerajaan negeri tidak ada menyembunyikan apa-apa berkaitan dakwaan wujud permintaan wang dan wanita dalam pentadbiran negeri itu.
 
Malah pihaknya sentiasa bersedia memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
 
"Tiada apa-apa yang hendak disembunyikan, kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.
 
"Kami juga tidak menghukum mereka yang membuat aduan. Ini kerana kami adalah terbuka dan bersedia menerima kritikan di bawah sistem demokrasi," katanya yang dipetik Oriental Daily News.
 
Terdahulu Naib Presiden PKR Rafizi Ramli membuat laporan mengenai dakwaan rasuah yang berlaku di Selangor.
 
Laporan yang dibawa Rafizi itu bermula selepas satu perbualan Whatsapp 'terbocor' mendedahkan beliau menerima aduan bahawa wujud permintaan habuan wang dan 'perempuan' ketika berurusan dengan kerajaan negeri Selangor. 
 
Mengulas mengenai agenda Deklarasi Rakyat yang dilihat mengabaikan agenda reformasi yang dibawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga Ketua Umum PKR mengirim surat kepada PKR, bagaimanapun Azmin menafikan perkara tersebut.
 
Sebaliknya Azmin menganggap surat penjara yang ditulis Anwar sebelum ini hanyalah peringatan untuk kepimpinan parti. 
 
Malah beliau berkata surat itu adalah untuk edaran dalaman dan bukan untuk tatapan umum.
 
"Dalam surat itu, Anwar berkata, tidak ada masalah dengan pemimpin-pemimpin parti menyertai Deklarasi Rakyat. Beliau juga tidak menghentikannya, tetapi sekadar memberi cadangan dan peringatan.
 
"Apa yang Anwar tekankan bahawa kita tidak harus lupa agenda reformasi selepas menyertai deklarasi ini," katanya.
 
 

Tiada ulasan: