Jumaat, 24 Jun 2016

Rampaslah Yayasan Kepimpinan Perdana, kata Dr M

 
Saya tidak akan merasa kehilangan apabila rampasan dibuat. Saya biasa dan faham dengan kehidupan tanpa keistimewaan, katanya.


Mahathir


PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersedia sekiranya kerajaan berhasrat untuk menarik balik peruntukan Yayasan Kepimpinan Perdana (YPM) yang diterajuinya sejak tertubuhnya badan itu.

Katanya, kerajaan berhak menggunakan kuasanya untuk menarik balik yayasan itu seperti yang dicadangkan Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun.

“Saya ucap terima kasih kepada Khairul Azwan yang mengesyorkan supaya kerajaan menghentikan segala bantuan kewangan dan harta kepada YPM, termasuk penggajian kakitangan.

“Memanglah menjadi hak kerajaan mengguna kuasa yang diberi rakyat dengan apa cara sekalipun. Ini saya terima. Rampaslah,” katanya dalam entri terbarunya di blog chedet.cc.

Namun, Dr Mahathir turut menyatakan kekesalannya berhubung sikap Khairul Azwan yang disifatkan sebagai angkuh dan sudah menunjuk kebengisan menjadi pemimpin rasuah sebelum berkuasa.

“Tujuannya sama dengan rasuah. Pemberian (suapan) rasuah bertujuan mendapat sokongan, atau mengurang kritikan terhadap pemberi.

“Perampasan hak mempunyai tujuan yang sama. Tidak ada perbezaan antara pemberian dan perampasan – kedua-duanya adalah rasuah.

“Saya tidak akan merasa kehilangan apabila rampasan dibuat. Saya biasa dan faham dengan kehidupan tanpa keistimewaan. Hanya saya sedih memikir masa depan negara tercinta ini.

“Apakah akan jadi kepadanya setelah budaya rasuah dipandang tinggi dan dipertahankan oleh yang akan berkuasa dan memerintah,” katanya.

Sebelum ini Khairul Azwan berkata Dr Mahathir memperalatkan YPM dalam usahanya melawan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

YPM ditubuhkan pada Januari 2003 sebagai pertubuhan yang bukan membuat keuntungan untuk mengkaji dan mempromosikan pemikiran dan warisan perdana menteri Malaysia.

Ia dilancarkan secara rasmi pada 10 Mei 2005 oleh perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Badawi. Dr Mahathir pula merasmikan Pustaka Perdana yang menempatkan pelbagai maklumat berhubung perdana menteri negara.

Tiada ulasan: