Rabu, 1 Jun 2016

Rakyat Malaysia diramal dapat lihat planet Zuhal Jumaat ini

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Orang ramai di negara ini berpeluang melihat planet Zuhal pada posisi istiqbal (bertentangan dengan matahari) melalui teleskop, binokular malahan dengan mata kasar di langit Malaysia selepas matahari terbenam, pada Jumaat ini. 
 
Pegawai Penyelidik Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) di Observatori Negara Langkawi, Farahana Kamarudin, berkata istiqbal adalah posisi lintasan planet yang paling hampir dengan bumi. 
 
"Fenomena istiqbal ini akan memberikan posisi yang terbaik untuk penyelidik dan peminat astronomi untuk mencerap objek itu kerana ia berada pada tahap kecerahan paling cerah yang memudahkan aktiviti pencerapan dan rakaman imej.
 
"Apabila dilihat menerusi mata kasar, ia akan kelihatan seperti bintang yang cerah," katanya. 
 
Katanya, planet itu akan berada di sebelah timur dengan buruj Scorpio. Farahana berkata, fenomena istiqbal serta pencerapan boleh dilakukan di kawasan lapang yang tidak terlindung dengan awan serta kurang pencemaran cahaya.
 
"Bahkan, jika menggunakan telefon pintar, anda boleh menggunakan perisian Google Sky atau StarMap untuk membantu menjejak planet itu," katanya lagi.
 
Planet Zuhal mengambil masa selama 29.5 tahun (10,759 hari) untuk melengkapkan orbitnya mengelilingi Matahari. 
 
Planet Zuhal akan berada pada posisi istiqbal ini setiap 378 hari dan jangkaan seterusnya akan berlaku pada 15 Jun 2017. Kali terakhir planet Zuhal berada di posisi istiqbal adalah pada 23 Mei 2015.

Tiada ulasan: