Sabtu, 4 Jun 2016

Rafizi diasak pada majlis serah memorandum bantah lebuh raya SUKE, DASH, EKVE

Tan Su Lin, Astro Awani
 
Rafizi diasak pada majlis serah memorandum bantah lebuh raya SUKE, DASH, EKVE
Kira-kira 100 penduduk Selangor hari ini mengemukakan memorandum bagi membantah pembinaan tiga projek lebuhraya di negeri berkenaan. - Foto Astro AWANI/Tan Su Lin


AMPANG: Sebagai usaha akhir, kira-kira 100 penduduk Selangor hari ini mengemukakan memorandum bagi membantah pembinaan tiga projek lebuh raya di negeri berkenaan.

Tiga lebuh raya itu ialah Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE), Lebuh Raya Damansara-Shah Alam (DASH) dan Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE).

Mereka membantah ekoran pembinaan lebuh raya berkenaan dikatakan bakal merentasi bukan sahaja kawasan perumahan mereka, malah beberapa hutan simpan kekal di Selangor khususnya di Ampang dan Cheras.

Turut hadir adalah Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli pada majlis yang dianjurkan kumpulan yang membantah lebuh raya berkenaan di Kelab Darul Ehsan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, situasi menjadi kecoh apabila Rafizi diasak bertubi-tubi dengan desakan daripada beberapa penduduk yang mendakwa kerajaan negeri Selangor gagal mendengar keluhan rakyat.

Rafizi sebelum itu berucap memperjelaskan kekangan yang wujud dalam pentadbiran Selangor berhubung isu pembinaan lebuh raya, sambil mengakui bahawa pembinaan lebuhraya bukan penyelesaian kepada masalah kesesakan trafik.

Rafizi menerima memorandum bantahan daripada penduduk terhadap pembinaan lebuhraya SUKE.
Rafizi menerima memorandum bantahan daripada penduduk terhadap pembinaan lebuhraya SUKE. - Foto Astro AWANI/Tan Su Lin

Ahli jawatankuasa kumpulan anti-Kidex dan anti-DASH, Mak Khuin Weng, turut melontarkan soalan kepada Rafizi: "Apakah gunanya anda semua berada dalam kerajaan, jika anda tidak boleh mengubah peraturan yang anda kritik selama ini?"

Rafizi bagaimanapun mempertahankan bahawa kehadiran beliau adalah sebagai ahli parlimen di kawasannya.

"Sebagai seorang ahli parlimen, saya datang untuk mewakili penduduk di kawasan saya. Sekiranya ahli parlimen lain atau Menteri Besar tidak datang, jangan pula anda cuba menuduh atau menghalang saya daripada menjalankan tanggungjawab saya sebagai ahli parlimen di kawasan saya kerana penduduk di kawasan saya adalah keutamaan saya," katanya.

Namun ada antara penduduk yang tidak berpuas hati dan menyatakan bahawa sebagai pemimpin daripada parti yang mentadbir Selangor, Rafizi mewakili seluruh rakyat negeri berkenaan.

"YB, kamu adalah wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat Selangor jadi kamu perlu mewakili seluruh populasi Selangor, bukan hanya kawasan parlimen kamu. Sebagai Setiausaha Agung parti yang mentadbir negeri Selangor, anda perlu bertanggungjawab," menurut salah seorang penduduk yang hadir.

Selepas majlis berkenaan, Pengerusi Kumpulan 'Say No To SUKE', Agos Hasan yang ditemui melahirkan kekecewaan berikutan kesemua kumpulan penduduk yang membantah tiga projek lebuhraya berkenaan seolah-olah bertemu dengan jalan buntu.

"Banyak emosi hari ini kerana segala usaha secara formal, secara baik dan diskusi telah bertemu dengan jalan mati. Sampai arahan mahkamah dibuat tetapi nampakknya semua projek ini tetap diteruskan. Malah projek EKVE disiarkan dalam akhbar lagi bahawa EKVE akan diteruskan walaupun arahan mahkamah telah diberi," katanya.
Dalam pada itu, Rafizi ketika ditemui pemberita berkata beliau akan membawa perkara itu ke peringkat parlimen agar semua projek lebuhraya dimansuhkan.

"Tiba masanya model yang menggunapakai syarikat konsesi perlu dihentikan sepenuhnya dalam negara ini kerana penduduk sememangnya tidak lagi mampu untuk membayar.

"Hanya dengan itu kerajaan tidak lagi boleh membina lebuhraya dan kita tiada pilihan kecuali mencari jalan penyelesaian lain iaitu model pengangkutan yang lebih berkesan yang jauh lebih murah," katanya.

Terdahulu pada majlis berkenaan, Rafizi menerima memorandum bantahan daripada penduduk terhadap pembinaan lebuhraya SUKE. 

Tiada ulasan: