Isnin, 6 Jun 2016

Radio al-Quran pertama dilancar

SINAR HARIAN

Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim)
Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim)


IPOH - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) melancarkan radio al-quran yang julung kalinya di negara ini iaitu 'Radio Nurul Quran Nusantara' bagi membudayakan masyarakat Islam terutama golongan muda dalam mendampingi kitab suci berkenaan.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abd Hamid berkata, dengan menggunakan tag line 'Nurul Quran Nurul Hayah' yang bermaksud Cahaya al-Quran, Cahaya Kehidupan, ia mengetengahkan konsep tarbiyah, keilmuan, kemahiran membaca, kefahaman, motivasi dan penghayatan al-quran dalam setiap programnya.

Beliau berkata sebagai permulaan, siaran radio itu yang memulakan siaran percubaan minggu lalu menggunakan talian Internet atau web radio sebelum disiarkan sepenuhnya dengan memohon lesen frekuensi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

"Penyiaran radio ini adalah selama 24 jam sehari yang turut menyiarkan panduan untuk menghafal al-quran dan membaca dengan betul.

"Kita tidak ada iklan kecuali yang ada kaitan dengan al-quran. Contohnya orang yang ingin dapatkan al-quran tertentu, maka kita akan siarkan, tetapi tidak iklan produk," jelasnya kepada pemberita.

Majlis pelancaran radio berkenaan disempurnakan Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria di Masjid Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Mohd Azmi berkata, dalam usaha memperkenalkan radio berkenaan, Mapim akan mengambil inisiatif untuk menjelajah negara Asean antaranya Kemboja, Vietnam dan Laos dalam tempoh tiga atau empat bulan ini.

Tambahnya pihaknya juga sedang bekerjasama dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia, IKIM.fm bagi memperkayakan lagi program dan siaran radio tersebut terutama pada bulan Ramadan ini.

"Ketika sesi percubaan minggu lalu, sambutan yang kita terima adalah amat baik dan kita harap radio al-quran ini mampu membawa perubahan dalam masyarakat supaya berpaksikan al-quran," katanya.

Orang ramai yang ingin mengikuti siaran radio ini boleh melawati laman sesawang
www.radionurulquran.com atau memuat naik aplikasi radionurulquran di Google Playstore. - Bernama


Tiada ulasan: