Sabtu, 4 Jun 2016

Premis makanan jangan tipu sijil halal pada Ramadan

FREE MALAYSIA TODAY


Ini kerana pada Ramadan terdapat pelbagai jenis makanan akan dihidangkan kepada pengguna Islam untuk berbuka puasa.


jamil-khir-halal


YAN: Premis makanan yang beroperasi sepanjang Ramadan diingat tidak melakukan penipuan berhubung perakuan sijil halal yang sah bagi memastikan makanan dijual tidak diragui umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata isu halal menjadi keutamaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana semasa Ramadan terdapat pelbagai jenis makanan akan dihidangkan kepada pengguna Islam untuk berbuka puasa.

Bagaimanapun, Jamil Khir berkata dalam isu memperoleh sijil halal adalah atas sukarela pihak premis makanan berkenaan dan tidak bersifat wajib kerana terdapat kekangan tertentu dalam konteks pasaran yang perlu diambil kira.

“Saya harap peniaga yang tidak mempunyai perakuan sijil halal dapat memastikan makanan yang hendak dijual kepada pembeli beragama Islam dapat disediakan dengan bersih, tidak mengandungi bahan campuran haram dan memenuhi kriteria ditetapkan Jakim.

“Pembeli juga perlu yakin semasa hendak membeli makanan dan sekiranya masih berasa was-was, mereka dinasihatkan mencari premis makanan mempamerkan sijil halal sah dikeluarkan Jakim sendiri,” katanya selepas Majlis Perasmian Rumah Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Sungai Daun, di sini hari ini.

Jamil Khir yang juga ahli Parlimen Jerai berkata Jakim akan sentiasa menjalankan pemantauan secara berkala sepanjang Ramadan bagi memastikan semua premis makanan seperti restoran dan hotel yang menawarkan bufet Ramadan menyediakan makanan halal.

“Pemantauan dijalankan sepanjang tahun tetapi dalam bulan Ramadan ini hotel, restoran dan kedai makan yang menjual makanan kepada orang ramai berbuka puasa memerlukan pemantauan lebih rapi,” katanya.

Jamil Khir berkata pemantauan itu juga bagi memastikan sijil perakuan halal masih sah digunakan dan tidak tamat tempoh.-BERNAMA

Tiada ulasan: