Khamis, 2 Jun 2016

Polis pantau tiga kawasan panas sasaran militan

SINAR HARIAN
 


 

PDRM


PETALING JAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini melakukan rondaan keselamatan secara kerap di tiga 'kawasan panas' sekitar Subang Jaya, di sini yang dikhuatiri menjadi sasaran kumpulan militan IS.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, tiga kawasan itu ialah pusat membeli-belah Sunway Pyramid, Empire Shopping Gallery dan Subang Parade yang merupakan kawasan strategik serta tumpuan pengunjung.

"Kami menerima arahan terbaharu dari Bukit Aman untuk menjalankan operasi khas ini sebagai langkah pencegahan menangani berlakunya kes melibatkan ancaman Daesh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran MPV lima syif bertindih di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini, hari ini.

"Rondaan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu dibuat 24 jam terutama pada waktu puncak antara pukul 4 petang hingga 12 malam," katanya.  

Menurut Mohammad Azlin, memandangkan rondaan dibuat di tempat awam, beliau menasihati orang ramai tidak berasa curiga dan panik kerana ia merupakan antara langkah pencegahan, sekali gus untuk memberi keyakinan keselamatan kepada pengunjung.

Sebelum ini, rondaan tersebut telah dilaksanakan secara berperingkat di beberapa bandar utama yang menjadi kawasan tumpuan orang ramai bagi menghantar isyarat bahawa keadaan keselamatan di negara ini berada dalam kawalan pihak berkuasa.

Ia berikutan perkembangan semasa termasuk insiden keganasan di beberapa bandar utama di dunia.

Dalam pada itu, Mohammad Azlin berkata sebanyak 40 kenderaan MPV bersama 103
anggota membuat rondaan lima syif bertindih di kawasan berisiko terjadinya jenayah dan berharap masyarakat bertambah yakin dengan tahap keselamatan di kawasan mereka. – Bernama


Tiada ulasan: