Sabtu, 4 Jun 2016

PKR tunggu keputusan Majlis Syura, kata Syed Ibrahim

Oleh Azizul Osman
Post Pic
SHAH ALAM: PKR mengambil pendirian untuk tunggu dan lihat bersabit tahaluf siyasi dengan PAS selepas parti itu menerima usul berhubung perkara tersebut daripada sayap serta beberapa PAS kawasan di seluruh negara.
Menurut Ketua Penerangan PKR Syed Ibrahim Syed Noh, keputusan itu hanya diketahui selepas Majlis Syura Ulama mengadakan perbincangan dan mengkaji secara teliti mengenai hal itu. 
"Itu usul di peringkat Dewan Muslimat, maksudnya itu dalaman mereka tapi dari segi pendirian PAS (Pusat) sendiri saya tidak ada lagi, saya rasa (kita) tunggulah kalau ada apa-apa pendirian rasmi daripada PAS berkenaan perkara ini," katanya kepada Antarapos.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usul yang dibawa oleh Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda supaya tahaluf siyasi antara PAS dengan PKR dikaji semula.
Malah Dewan Pemuda turut memberikan kata dua kepada PKR supaya memilih untuk bersama dengan PAS atau DAP kerana mereka sudah terlalu banyak menghiris perasaan mereka.
Mengulas mengenai rundingan pembahagian kerusi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dikalangan parti-parti pembangkang, jelas beliau PKR sentiasa berbincang mengenai perkara itu. 
"Setakat ini rundingan dengan semua pihak kita sedia (adakan) rundingan termasuklah dengan Pakatan Harapan (PH) jadi tidak timbul isu kita sedia runding atau tidak. Buat waktu ini kita kena tengok balik secara menyeluruh hubungan kerjasama dengan PAS khususnya," katanya.
Namun ujar beliau, sekiranya berlaku sebarang perubahan mengenai kerjasama antara PKR dan PAS, mungkin satu rundingan lain akan diputuskan.  
"(Jika) ada perkembangan baru dari segi hubungan kerjasama dengan PAS. Jadi saya rasa itu kita (PKR) terima tapi dari segi PKR sendiri, kita akan buat kaji semula tentang hubungan dan juga tentang perundingan kerusi sebelum PRU14, walaupun tidak lama tapi ada masa lagi," jelasnya. 
Semalam Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan, usul itu hanya untuk mengkaji semula hubungan antara kedua-dua parti itu dan tidak sampai memutuskan hubungan.
Malah beliau berkata, usul tersebut berbeza daripada cawangan yang dibawa oleh Dewan Ulama dalam muktamar sebelum ini yang mendesak supaya tahaluf siyasi dengan DAP diputuskan.

Tiada ulasan: