Jumaat, 24 Jun 2016

PKR, PAN akur pengaruh yang dimiliki PAS?

Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Tindakan Parti Amanah Negara (PAN) dan PKR mencadangkan agar PAS kembali ke meja rundingan bersama Pakatan Harapan (PH) bagi mengukuhkan kembali kuasa pembangkang membuktikan parti Islam itu memainkan peranan besar dalam meraih sokongan rakyat.
 
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata PKR, PAN malah DAP terpaksa mengakui pengaruh yang ada pada PAS tidak mampu diganti oleh mana-mana parti dalam Pakatan Harapan.
 
"Apabila Amanah (PAN) membuat cadangan sebegini, sebenarnya ini menunjukkan Amanah (PAN) yang terdesak dan bukannya PAS. 
 
"PAS mempunyai kedudukan yang agak lebih berbanding dengan Amanah (PAN) yang ketika ini berada dalam Pakatan Harapan. 
 
"Sebenarnya dalam perkara ini, dua PRK yang lepas menunjukkan PAS itu berbanding Amanah (PAN) mereka adalah lebih hebat dari segi sokongan terutama sekali daripada pengundi Melayu," katanya kepada Antarapos.
 
Kelmarin Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meminta agar PAS kembali bersatu sebagai satu pasukan di bawah Pakatan Harapan bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) pada PRU14. 
 
Pandangan yang sama juga disuarakan Timbalan Presiden PAN Salahudin Ayub yang mahu mengukuhkan kembali pakatan pembangkang.
 
Gesaan itu bagaimanapun tidak begitu mesra disambut pemimpin PAS.
 
Bagi timbalan presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, adalah mustahil untuk PAS bergabung dengan Pakatan Harapan namun beliau bersetuju jika ditubuhkan mekanisme baru bagi mengukuhkan parti pembangkang.
 
Ujarnya mekanisme itu punya dua syarat. Pertama jaminan satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan kedua, jaminan bahawa tiada mana-mana parti politik hilang kerusi dalam proses agihan kerusi.
 
Tuan Ibrahim tidak pula mengulas bagaimana PAN akan mendapat peruntukan kerusi pada PRU14 nanti.
 
Mengulas lanjut, Azmi berkata, saham politik PAS terus memuncak selepas DAP sendiri terpaksa akur bahawa PAN masih belum mampu menggantikan peranan yang ditinggalkan PAS sebelum ini.
 
Pada awal penubuhan PAN, parti itu sering disebut-sebut sebagai pengganti PAS. Malah pemimpin PAN juga sering mencanang keyakinan mereka untuk memainkan peranan yang pernah dipikul PAS dalam Pakatan Rakyat.
 
"Dua PRK yang lepas adalah petunjuk popular atau tidak Amanah (PAN), ia juga menunjukkan isyarat bahawa DAP menggunakan Amanah (PAN) dalam menarik pengundi Melayu atau Cina tidak berjaya. 
 
"Jadi itu salah satu pengajaran yang dapat diambil daripada dua PRK lalu, DAP juga dikatakan walaupun masih berkeras tidak mahu menerima PAS tetapi mereka kena akur Amanah (PAN) setakat hari ini masih tak mampu menggantikan PAS. Apa yang mereka lakukan dalam PR sebelum ini," ujarnya.
 
 

Tiada ulasan: