Sabtu, 25 Jun 2016

PKNS agih bantuan zakat RM50,000

OLEH : SYASYA SUFIAN


SHAH ALAM: Lima badan bukan kerajaan (NGO) dan pusat jagaan warga emas menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM50,000 daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Pengurus Besar PKNS, Azlan Md Alifiah, berkata PKNS pihaknya mengenalpasti lima badan kebajikan yang layak menerima bantuan zakat perbadanan itu.

“Setiap badan NGO ini akan menerima wang zakat bernilai RM10,000 yang terdiri daripada Persatuan Penyakit Jarang Jumpa Malaysia, Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM), Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al Ikhlas, Pertubuhan Kebajikan Nur Hati dan Rumah Kasih Nurul Hasanah,” katanya.

CP2A8505-800x533

Pengerusi CLAPAM, Zainal Azhar Ahmad, berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada PKNS kerana dengan sumbangan itu banyak perkara yang dapat dilaksanakan.

“Antara tiga perkara yang diutamakan adalah memberi khidmat nasihat kepada ibu bapa yang anaknya menghidap klef kerana di Lembah Klang, hospital kerajaan dan swasta tidak akan ‘discharge’ bayi selagi kami tidak pergi berjumpa ibu bapa memberi keterangan.

“Kita juga akan memberi botol dan puting khas untuk menyenangkan ibu bapa menyusukan anak mereka sebagai persediaan sebelum pembedahan. Selain itu, kami akan guna dana ini untuk membiayai pembedahan sumbing bibir dan lelangit,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, semalam.

CP2A8523-800x533

Sementara itu, Pengurus Pertubuhan Kebajikan Nur Hati, Mohd Zaid Mohd Shah, berkata itu adalah pertama pihaknya menerima sumbangan dengan nilai yang besar.

“Kami sangat bersyukur menerima sumbangan yang diberi PKNS kerana dapat meringankan beban menjelang Aidilfitri kerana rumah ini dihuni bayi yang dibuang daripada umur tiga bulan dan dibesarkan sehingga 21 tahun.

“Istimewanya rumah ini, kami menjaga mereka yang tidak sah taraf dan tidak mempunyai keluarga juga waris.

“Jadi, menjelang Hari Raya yang akan tiba anak yang menyambung pelajaran atau sudah berdikari akan pulang ke rumah kebajikan ini untuk menyambut Aidilfitri bersama kami kerana di sinilah tempat asal dan kampung halaman mereka,” katanya.-NFN-


Tiada ulasan: