Khamis, 2 Jun 2016

Perwakilan Pas gesa tenggelamkan Pakatan Harapan

Perwakilan Pas gesa tenggelamkan Pakatan Harapan
Muktamar Tahunan Pas ke-62 di sini, hari ini. –Foto Sinar Harian


KOTA BHARU - Perwakilan dari Terengganu, Dr Alias Razak menggesa Pas Pusat mengukuhkan blok politik ketiga demi menenggelamkan Pakatan Harapan yang dilihat terus menerus mahu bersaing dengan parti Islam itu.

Menurutnya, Pas perlu mencari kembali momentum yang hilang akibat perpecahan Pakatan Rakyat.

"Harap Pas Pusat ambil perhatian blok politik ketiga ini yang kita mesti betul-betul pacu supaya dapat menenggelamkan Pakatan Harapan yang menjadi pesaing kita nampaknya pada hari ini.

"Mana tempat kita bertanding mereka bertanding. Nampaknya nak bersaing sungguh. Jadi kita kena bersungguh bagi mengatasi kehilangan undi akibat daripada perpisahan ini dan kita bina platform baru," katanya pada sesi Perbahasan Ucapan Dasar Presiden di Muktamar Tahunan Pas ke-62 di sini, hari ini.

Pas membentuk blok politik ketiga bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) pada 16 Mac lalu sebagai suatu kerjasama politik yang lebih tersusun dengan membawa model politik matang, terbuka bertanggungjawab, bersih dan sejahtera.

Dalam pada itu, Alias berharap pembentukan blok politik ketiga itu bukan sekadar di pentas sahaja.

"Kita mohon kepada Pas Pusat setelah kita tidak lagi bersama Pakatan Rakyat, maka untuk kita mendapat kembali momentum dan sokongan, maka penubuhan blok politik ketiga adalah penting dan saya harap ia tidak hanya sekadar di atas pentas.

"Laksanakan di semua peringkat bersungguh kerana inilah peluang menarik penyokong-penyokong atas pagar. Insya-ALLAH Pas Terengganu sedang mengerah...tapi nampak tidak berapa segar molek," katanya.

Beliau juga melahirkan keyakinan pengukuhan blok politik ketiga itu bakal memberi laluan kemenangan Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-14.


Tiada ulasan: