Sabtu, 25 Jun 2016

‘Perhimpunan’ di UIA: Dr Aziz Bari disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman

azizbari

Oleh Hafiz Zainuddin


GOMBAK: Pakar Perlembagaan yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Dr. Abdul Aziz Bari dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Gombak untuk memberi keterangan berhubung ‘perhimpunan’ yang berlaku di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada November 2014.

Dalam insiden tersebut, Aziz bersama dua lagi, Fahmi Zainol yang ketika itu presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) dan aktivis mahasiswa Safwan Anang dijadual berucap di dalam kawasan universiti berkenaan.

Namun, acara itu dihalang pihak Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dengan bertindak memadamkan lampu dan mengunci pintu pagar utama kampus, menyebabkan penceramah dan sebahagian pelajar terpaksa berada di luar kawasan UIA.

Bercakap kepada pemberita, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng yang juga peguam mewakili Aziz berkata siasatan terhadap ‘himpunan’ mahasiswa di UIA itu dibuka semula setelah Mahkamah Tinggi bulan lalu membuat keputusan terhadap kes perhimpunan aman melibatkan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli.

Mahkamah Tinggi menggugurkan permohonan Rafizi untuk membatalkan pendakwaan terhadap mereka yang didakwa berhimpun di luar Parlimen, di bawah Akta yang sama.

“Menurut pegawai penyiasat Assistant Superintendant (ASP) Viswa, pada saat ini pihak polis sedang memperbaharui semula semua kes melibatkan perhimpunan awam,” jelas beliau.

Tidak mengulas lanjut, Dr Aziz berkata buat masa ini hanya beliau yang dipanggil memberi keterangan dan disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman.

“Buat masa ini (siasatan terhadap) saya sendiri. Fahmi Zainol dan Safwan belum lagi,” katanya.

Hadir bersama ialah Adun Kampung Tunku merangkap Penolong Bendahari DAP Selangor, Lau Weng San, Ahli Jawatankuasa DAP Selangor merangkap Ahli Majlis Perbandaran Selayang Edry Faizal Yusof dan Ahli Majlis Perbandaran Selayang Ahmad Irfan.

Menurut Edry, ‘perhimpunan’ tersebut berlaku akibat tindakan pihak universiti yang menghalang acara itu diadakan di dalam kampus sendiri.

“Nak diadakan ceramah di UIA kemudian disekat. Pintu ditutup, lampu dipadam. Jadi, pelajar-pelajar terpaksa berada di luar UIA. Sebab tak boleh masuk, jadi semua berkumpul diluar. Jadi itu menyebabkan njampak macam perhimpunan,” kata Edry.

Ahmad Irfan yang ketika itu pelajar tahun akhir di UIA pula berkata, sepatutnya acara ceramah itu diadakan di dalam kampus.

“Masa itu saya di dalam kawasan UIA. Mengikut jadualnya, akan ada ceramah di dalam. Tujuan program hari itu bukan pun untuk melawan pentadbiran UIA tapi mengenai kebebasan akademik dan perjuangkan kebebasan bersuara.

“Mungkin bila pentadbiran UIA tahu, awal-awal lagi dia dah sekat. Seingat saya sekitar waktu Maghrib pagar dah ditutup. Tiga pintu pagar UIA semua ditutup dan penceramah dari luar berada di luar bahagian pagar UIA,” jelasnya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: