Sabtu, 25 Jun 2016

Penularan fahaman takfiri di negara ini membimbangkan

MALAYSIA DATELINE
 
 
Fahaman takfiri yang didalangi Daesh (IS) dikhuatiri merebak ke negara ini dengan kecenderungan sesetengah pihak mengkafirkan umat Islam yang tidak sealiran dengan mereka.Fahaman takfiri yang didalangi Daesh (IS) dikhuatiri merebak ke negara ini dengan kecenderungan sesetengah pihak mengkafirkan umat Islam yang tidak sealiran dengan mereka.


Penularan fahaman takfiri di negara ini begitu membimbangkan sehingga gejala mengkafirkan pihak yang tidak sealiran pemikiran semakin menjadi-jadi di media sosial, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Beliau juga melahirkan kebimbangan jika fahaman takfiri yang memporak-perandakan rantau Teluk khususnya Syria dan Iraq dibawa masuk ke negara ini oleh elemen Daesh (IS).

"Saya amat gusar dan bimbang dengan fahaman takfiri yang mula melanda negara kita secara hebat sekarang ini. Melabel mengkafirkan, 'menerakakan' orang sudah menjadi trend di negara ini khususnya di media-media sosial.

"Saya berpesan kepada diri saya, pimpinan, penyokong Amanah dan umat Islam dan bukan Islam supaya kita bertanggungjawab menjaga keamanan, keharmonian sesama masyarakat.

"Fahaman takfiri yang akhirnya menjadi punca pembunuhan sesama Islam seperti sedang melanda Iraq, Somalia, Syria, Libya, Afghanistan, Pakistan dan negara umat Islam lain, diharap tidak merebak ke negara ini," tegasnya.

Menurut Mohamad, kemenangan mengejut kumpulan Daesh atau Islamic State (IS) pimpinan Abu Bakr Al-Baghdadi di Iraq pernah dipuji oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedangkan ia boleh mengundang bahaya kepada umat manusia khasnya umat Islam.

Mereka yang terjebak dalam budaya dan fahaman takfiri ini, jelas Mohamad sukar dipulihkan dan boleh memusnahkan negara.

"Parti Amanah berpendapat, dalam menangani perbezaan perlu banyakkan program dialog berbanding melabel-label orang.

"Pihak bertanggungjawab perlu menjaga fatwa-fatwa mereka supaya ia akhirnya tidak menjerat umat Islam itu sendiri.

"Pihak keselamatan negara pula hendaklah lebih berhati-hati dan berusaha supaya fahaman yang boleh menjahanamkan negara dan umat tidak bermaharajalela masuk ke negara ini," katanya.

Sempena bulan Ramadan yang mulia, Mohamad merayu mereka yang berbeza pendapat supaya berlawan hujah dan tidak sampai melabel seseorang itu sehingga menghalalkan darahnya secara tidak sah oleh undang-undang dan agama.

Tiada ulasan: