Isnin, 6 Jun 2016

Pengundi Kuala Kangsar tak 'diganggu' bermula jam 4.30 petang hingga Mahgrib

 HAZAYANI ZAKARIA
 
 
Barisan calon PRK Kuala Kangsar  (dari kiri) Dr Ahmad Termizi, Mohd Kami Shafie yang mewakili Mastura, Dr Najihatussalehah dan Izat Bukhary.Barisan calon PRK Kuala Kangsar (dari kiri) Dr Ahmad Termizi, Mohd Kami Shafie yang mewakili Mastura, Dr Najihatussalehah dan Izat Bukhary.


Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) akan menyesuaikan aktiviti kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar agar tidak menganggu aktiviti harian pengundi khususnya wanita dalam bulan Ramadan ini.

Timbalan Biro Pilihan Raya Amanah Nasional Aiman Athirah Al-Jundi berkata, para pengundi tidak akan ‘diganggu’ selepas jam 4.30 petang sehingga waktu berbuka puasa bagi memberi peluang kepada mereka yang perlu menyediakan keperluan untuk keluarga.

“ Ada berbeza sedikitlah kempen bulan Ramadan ini iaitu kita memberi peluang kepada pengundi kita tidak diganggu selepas jam 4.30 petang sampai waktu berbuka.

“Kita bersama pengundi di masjid pada malamnya, kempen rumah ke rumah berjalan seperti biasa cuma dengan penyesuaian masa bulan puasa,” katanya ketika ditemui di dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar semalam.

Menurut beliau juga, sebanyak enam negeri menghantar anggota Awan untuk membantu kempen Amanah dan Pakatan Harapan di Kuala Kangsar selain bantuan daripada wanita PKR dan DAP.

Enam negeri tersebut ialah Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Kuala Terengganu dan Johor dan Sabah.

“Awan juga bekerjasama dengan DAP dan PKR.Target kita untuk menang walau bagaimana sekalipun kita berusaha untuk menang tak ada siapa masuk ke medan perang untuk kalah. Kita memimpin jentera untuk menang,” tegasnya.

PRK Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Amanah, Pas, BN dan seorang calon bebas.

Calon Pakatan Harapan Dr Ahmad Termizi Ramli akan ditentang calon BN Mastura Mohd Yazid, calon Pas , Dr Najihatussalehah Ahmad dan calon bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Sebanyak 32,949 orang layak mengundi pada PRK Parlimen Kuala Kangsar kali ini.

Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kuala Kangsar Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria berkata jumlah berkenaan meliputi pengundi biasa sebanyak 32,632 orang, pengundi awal (312) dan pengundi tidak hadir (lima).

Seramai 15,334 pengundi biasa adalah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Chandan dan 17,298 dari kawasan DUN Manong.

Tiada ulasan: