Khamis, 23 Jun 2016

Pengeluaran sijil nikah di Terengganu diperketat

SINAR HARIAN
Pengeluaran sijil nikah di Terengganu diperketat
Gambar hiasan
 
 
KUALA NERUS - Kerajaan Terengganu akan mengambil langkah untuk memperketat prosedur pengeluaran sijil nikah di negeri ini bagi mengelak berulangnya pengeluaran sijil nikah palsu.

Sambil menegaskan kerajaan negeri tidak bertolak ansur dengan jenayah pemalsuan sijil nikah, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pasangan yang mendapatkan sijil nikah palsu diminta menyerahkannya kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) dan memohon dokumen sah.

"Selepas ini, kita akan lebih berhati-hati dan memastikan proses mengeluarkan sijil nikah dibuat dengan lebih teliti dan ketat. Kita mahu pastikan semua prosedur diikuti, tanpa ada unsur penipuan yang mencurigakan. 

"Ia bukan tentang sijil nikah sahaja, tetapi semua aspek termasuk permohonan mendapatkan pekerjaan di mana kita akan pastikan sijil-sijil yang dikemukakan diteliti sepenuhnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penyampaian baucer Dana Raya Dewan Undangan Negeri Seberang Takir di sini, hari ini.
 
[ARTIKEL BERKAITAN: Daftar nikah: Tiga pegawai kerajaan ditahan reman]

Beliau diminta mengulas laporan akhbar mengenai sindiket pengeluaran sijil dan kad akuan nikah palsu di negeri ini yang didalangi tiga penjawat awam termasuk seorang pegawai JHEAT. - Bernama


Tiada ulasan: