Rabu, 1 Jun 2016

Pendedahan Finma: PM kena bertanggungjawab

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin. - Foto Sinar Harian


SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan seluruh anggota kabinet perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya berhubung dakwaan skandal penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didedahkan oleh Swiss Financial Market Supervisory Authority (Finma).

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Finma sebelum ini telah mengesahkan bahawa terdapat kegiatan penggubahan wang haram dalam urus niaga BSI Bank di Singapura yang melibatkan 1MDB.

“FINMA yang menjalankan prosiding penguatkuasaan ke atas pegawai-pegawai BSI Bank di Singapura mendapati kegiatan penggubahan wang haram ini melibatkan urus niaga berjumlah ratusan juta dollar Amerika Syarikat dalam 100 akaun di bank berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin memaklumkan bahawa siasatan Finma mendapati dalam tempoh antara 2011 hingga April 2015, pihak bank telah gagal mengenal pasti urus niaga dalam skala besar yang berisiko tinggi mahupun menjelaskan sumber aset-aset yang diurusniagakan.

Beliau berkata, kesemua urus niaga tersebut adalah berkaitan dengan perniagaan melibatkan individu-individu terdedah secara politik (politically exposed persons) yang mempunyai hubungan dengan 1MDB.

“Kesemua fakta ini menunjukkan telah berlaku aktiviti penggubahan wang haram dalam skala besar yang melibatkan wang berjumlah ratusan juta dolar dalam urus niaga yang dikaitkan dengan 1MDB.

“Peguam Negara Switzerland, Micheal Lueber, sebelum ini telah mendedahkan bahawa sejumlah AS$4 billion dollar (RM16.3 billion) wang 1MDB dikhuatiri telah dilesapkan (misappropriated),” katanya.

Tambah Muhyiddin, Najib seharusnya mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas segala penyelewengan yang berlaku dalam syarikat 1MDB kerana beliau selaku Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB terlibat secara langsung dalam membuat keputusan-keputusan transaksi syarikat.

“Kerana penyelewengan inilah 1MDB menanggung liabiliti berjumlah RM53 bilion pada masa ini yang sekiranya tidak dapat dibayar oleh syarikat, maka akhirnya kesemua tanggungan ini terpaksa dibayar oleh kerajaan menggunakan wang cukai yang dikutip daripada rakyat.


Tiada ulasan: