Ahad, 26 Jun 2016

Pemuda Semporna anggap salah guna kuasa

Mohd Azis Jamman
Mohd Azis Jamman


SHAH ALAM - Penggantungan keahlian Datuk Seri Mohd Shafie Apdal merupakan penyalahgunaan kuasa melampau oleh Majlis Tertinggi Umno terhadap seorang ahli yang selama lebih 30 tahun telah mencurah bakti dalam memperkasakan Umno," kata Ketua Pemuda Umno Semporna, Datuk Mohd Azis Jamman.

Mohd Azis berkata, keputusan itu juga seolah-olah melupakan jasa Mohd Shafie yang sebelum ini, merupakan salah seorang yang bertanggungjawab dalam membawa Umno masuk ke Sabah serta 'membesarkannya' di negeri di bawah bayu itu.

"Dato Seri (Mohd Shafie) tidak di panggil dalam mempertahankan dirinya sebagaimana yang pernah berlaku ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, pengantungan ini adalah satu tindakan terdesak bagi memastikan hanya pemimpin-pemimpin'yes man' yang perlu ada didalam barisan kepimpinan Umno.

"Perbezaan pandangan dan kritikan sudah tidak boleh berlaku di dalam Umno yang kononnya satu parti politik yang mengamalkan demokrasi. Jika kita imbau sejarah, apa perbezaan ketika  Mohd Shafie membuat saranan keatas Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) secara terbuka agar melepaskan jawatan bagi membolehkan Datuk Seri Najib (Tun Razak) mengambil alih berbanding hari ini," katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Dalam pada itu, katanya Umno Bahagian Semporna akan membuat kenyataan rasmi secara bersama sedikit masa lagi bagi mengecam dan menzahirkan rasa kekecewaan diatas cara dan sistem kuku besi yang melanda Umno pada hari ini.

"Sifat terdesak MT dalam mengambil tindakan mengantung keahlian Mohd Shafie menampakkan bahawa mereka tidak peka keatas keluh kesah rakyat khasnya ahli-ahli Umno.

"Perlu diingat, isu yang ditimbulkan Mohd Shafie  hingga mengakibatkan beliau dipecat dari kerajaan dan keahlian digantung adalah isu yang sememangnya telah mengikis kepercayaan ahli-ahli Umno serta rakyat pada keseluruhannya terhadap pemerintah," katanya.

Katanya lagi, jika Mohd Shafie digantung keahlian semata-mata kerana perbezaan pandangan dan kritikan terhadap Perdana Menteri dalam mengurus isu 1MDB sedangkan umum maklum, Mohd Shafie tidak pernah duduk sepentas dengan pemimpin pembangkang.

"Ini bermakna jutaan ahli-ahli akar umbi yang tidak kurang lantangnya mengkritikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdu Razak, dalam isu 1MDB khasnya di laman-laman sosial ini juga perlu digantung keahlian mereka dan jika itu benar-benar berlaku Umno hanya bermakna hanya demokratik pada nama dan bukan pada zahirnya," katanya.

Tiada ulasan: