Sabtu, 25 Jun 2016

Pemuda PAS puji tindakan PM Britain beri rakyat buat keputusan keluar dari EU

ANTARAPOS.COM


Post Pic
SHAH ALAM: Pemuda PAS memuji tindakan berani Perdana Menteri Britain, David Cameron yang menyerahkan kepada rakyat untuk menentukan masa depan negara itu.
Timbalan Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Malaysia wajar mencontohi cara David  itu ketika menentukan dasar utama kerajaan termasuk perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP) dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
“Tindakan David Cameron yang berani mengadakan referendum Brexit bagi menentukan sama ada Britain kekal bersama Kesatuan Eropah (EU) atau sebaliknya. 
"Ia membuktikan kesuburan sistem demokrasi berparlimen Britain apabila menyerahkan kepada rakyat menerusi undi popular bagi sesuatu dasar utama, tanpa menggunakan suara wakil rakyat atau pengundian di Parlimen untuk mengubah dasar atau hala tuju negara," ujarnya melalui kenyataan medianya.
Semalam, undian rakyat Britain memutuskan untuk mengundi keluar daripada EU selepas berada dalam kesatuan itu selama 43 tahun bermula 1973 dengan 52 peratus undian memihak kepada kem ‘keluar’ dan 48 peratus lagi kem ‘kekal’.
Muhammad Khalil bagaimanapun turut melahirkan kebimbangan kesan keputusan Britain itu kepada pasaran saham dunia.
“Apa yang dibimbangi Pemuda Pas adalah pelaburan-pelaburan utama kerajaan melalui PNB (SP Setia) dan KWSP di Britain yang dijangka terkesan dengan keputusan Brexit sama ada dalam tempoh terdekat atau jangka panjang. Pun begitu, kami yakin pihak terbabit telah pun mengambil langkah yang perlu untuk mengatasi masalah ini.
“Pemuda mahukan kerajaan bersedia dengan segala kemungkinan dan ketidaktentuan ini, agar ia tidak menjadi alasan kerajaan terus menekan rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: