Isnin, 27 Jun 2016

Pemimpin Sarawak kecewa dengan rombakan kabinet Najib

MALAYSIAKINI


Beberapa pemimpin politik kanan dari Sarawak menyatakan kekecewaan mereka berhubung rombakan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam.

Bagi bekas menteri perusahaan, perladangan dan komoditi, Datuk Seri Douglas Uggah Embas, yang juga adalah naib presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera beliau kecewa kerana menjangkakan kekosongan jawatannya itu akan diisi oleh ahli parlimen dari Sarawak.

"Saya amat kecewa kerana tidak ada ahli parlimen dari Sarawak yang dipertimbangkan bagi mengambil alih jawatan saya,” katanya yang dipetik akhbar Borneo Post.

"Kami percaya, ahli parlimen kami cukup layak untuk dilantik. Saya sedang bercakap bagi pihak sayap Pesaka PBB," kata Uggah yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak selepas beliau memenangi kerusi DUN Bukit Saban pada pilihan raya negeri Sarawak lalu.

Akhbar itu juga memetik Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing yang berkata bahawa Sarawak telah kehilangan jawatan seorang menteri penuh dalam kabinet persekutuan.

"Sebagai Sarawak rakan-rakan, saya kecewa bahawa kedudukan Douglas Uggah telah diperuntukkan kepada seorang ahli politik Malaysia Barat.

"Kami hilang seorang menteri penuh, dan sebagai pampasan kami diberikan seorang timbalan menteri Henry Sum sebagai ganti.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua yang dilantik itu agar melakukan yang terbaik dalam membantu perdana menteri dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 akan datang," katanya.

Presiden Parti Rakyat Sarawak itu, bagaimanapun, mengakui bahawa kuasa pelantikan anggota kabinet persekutuan adalah hak mutlak perdana menteri.

Kekecewaan mereka, lapor akhbar berkenaan adalah berdasarkan kepada spekulasi sebelum ini bahawa ahli parlimen Kapit merangkap Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi atau Ahli Parlimen Saratok, Tan Sri William Mawan Ikom akan dilantik untuk memegang jawatan yang dikosongkan oleh Douglas.

Sebaliknya, jawatan itu diserahkan kepada Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Kiong.

Bernama pula memetik setiausaha BN Sarawak Datuk Stephen Rundi Utom yang berkata kerajaan negeri membentangkan kes mereka supaya Ahli Parlimen Kapit mewakili PBB dan mengisi slot yang dikosongkan oleh Uggah.

"Tetapi BN Sarawak mengakui bahawa pelantikan menteri adalah prerogatif perdana menteri,” katanya.

Tiada ulasan: