Khamis, 23 Jun 2016

Pembangkang boleh hilang 13 kerusi parlimen jika pengundi Cina alih sokongan

Peralihan sokongan undi masyarakat Cina dalam pilihan raya umum akan datang - sepertimana yang dilihat dalam pilihan raya kecil (PRK) berkembar Sabtu lepas - mungkin menyaksikan kesan negatif terhadap pembangkang.

Di Sungai Besar, peralihan sokongan kira-kira 10 peratus pengundi Cina telah mengakibatkan pembangkang kehilangan sekitar 1,300 undi.

Berdasarkan simulasi Malaysiakini menggunakan keputusan pilihan raya umum 2013, peralihan yang sama sebanyak 10 peratus undi masyarakat Cina kepada BN, boleh menyebabkan pembangkang kehilangan 12 kerusi Parlimen di Semenanjung, dan satu kerusi Sabah.

Kerusi terbabit ialah Alor Setar, Bukit Gantang, Sungai Siput, Kampar, Raub, Temerloh, Sepang, Lembah Pantai, Teluk Kemang, Bukit Katil, Bakri, dan Batu Pahat di Semenanjung, dan Sandakan di Sabah.

Simulasi itu juga menunjukkan bahawa pembangkang akan kehilangan tiga kerusi di Sarawak iaitu Sarikei, Sibu dan Miri. Bagaimanapun, ini tidak mengambil kira perubahan dalam kawasan pilihan raya pengundi ekoran persempadanan semula di Sarawak.

Ia harus diperhatikan, pengundi Cina yang kembali memberi sokongan kepada BN dalam PRK apabila tidak ada kemungkinan untuk menukar kerajaan, seperti yang berlaku dalam PRK Teluk Intan pada 2014.

Dan sebagaimana yang berlaku pada peratusan keluar mengundi pada hari Sabtu lalu, pengundi luar berkemungkinan tidak pulang mengundi dalam PRK, dan oleh itu meningkatkan kemungkinan berlaku satu peralihan sokongan yang ketara.

Tetapi berdasarkan simulasi itu, malah perubahan yang lebih kecil sebanyak 5 peratus boleh menjejaskan pembangkang di enam kerusi, iaitu Bukit Gantang, Temerloh, Sepang, Teluk Kemang, Batu Pahat dan Sandakan.

Sarikei, Sibu dan Miri juga akan jatuh ke BN jika berdasarkan kepada data pra-persempadanan semula 2013.

Kerusi yang sebelum ini ditandingi oleh PAS juga mungkin dalam bahaya jatuh kepada BN jika kedua-dua PAS dan AMANAH bertanding, mungkin memecahkan undi Melayu dan memberi kelebihan kepada parti pemerintah.

Di bawah sistem sekarang, calon yang mendapat undi terbanyak akan menang, walaupun jumlah terkumpul undi untuk calon-calon lain mengatasi jumlah pemenang.

Tiada ulasan: