Isnin, 6 Jun 2016

Pedofilia: Suhakam gesa laksana undang-undang ketat

SINAR HARIAN

pedofilia
Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa undang-undang yang ketat dan khusus dikuatkuasakan di negara ini untuk melindungi kanak-kanak dari segala bentuk keganasan dan pencabulan seksual.

Badan hak asasi manusia itu berkata peruntukan itu harus termasuk undang-undang yang membantu polis, pendakwa dan agensi penguatkuasa untuk memburu dan membawa ke muka pengadilan mereka yang cuba melakukan pencabulan seksual ke atas kanak-kanak dengan memuat naik gambar dan video mangsa dalam talian.

"Tindakan yang sewajarnya dan perlu di semua peringkat harus diambil membawa pelaku jenayah itu ke pengadilan dan mengenakan hukuman yang setimpal selaras dengan semua instrumen antarabangsa yang berkaitan dan terpakai terhadap semua bentuk eksploitasi dan penderaan seksual kanak-kanak," kata Suhakam dalam satu kenyataan hari ini.

Suhakam membuat kenyataan itu ekoran pendedahan bahawa pedofil warga Britain, Richard Huckle, 30, mengaku terhadap pelbagai tuduhan melakukan pencabulan seksual kanak-kanak di Malaysia.

[ARTIKEL BERKAITAN:  Pedofilia: Bagaimana polis Austraila bongkar kes]

Huckle dilaporkan mula melakukan serangan seksual ke atas kanak-kanak ketika berusia 19 tahun dalam jangka waktu yang meliputi sembilan tahun dari Mac 2006 sehingga penangkapannya pada Disember 2014.

Dia berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku bersalah terhadap 71 tuduhan termasuk merogol, serangan seksual dan melakukan seks dengan kanak-kanak.

"Suruhanjaya mengulangi bahawa peruntukan khusus harus digubal untuk menghukum pelaku pedofil serta penerbitan, pemilikan dan pengedaran bahan-bahan lucah kanak-kanak," kata Suhakam. - Bernama


Tiada ulasan: