Isnin, 13 Jun 2016

Pas tidak terpengaruh 'dedak' Umno

Hadi Awang
Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


SEKINCHAN - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, parti Islam itu tidak pernah terpengaruh dengan pemberian 'dedak' yang ditawarkan pihak tertentu walaupun ia kini mula mendekati parti pemerintah.

Beliau menegaskan, Pas mampu meneruskan perjuangan dasar Islamnya tanpa mengamalkan politik wang dan ketirisan dana awam yang didakwa dirintis oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Pas tidak menentang individu. Pas menentang pendekatan, konsep dan dasar. Kalau orang diubah, dasar dan pendekatannya sama, tiada perubahan. Siapa yang ajar bagi dedak?

"Pas tidak terpengaruh dengan dedak. Pas boleh terus melangsungkan perjuangan, tiada politik wang, tiada politik BR1M, 1MDB, KWSP, Maica Holdings, Perwaja dan Tabung Haji. Itu adalah rantaian dari awal," katanya kepada pemberita semasa menyantuni rakyat di bazar Ramadan di sini, hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Mahathir hari ini yang mendakwa telah menemui Abdul Hadi bagi menerangkan dakwaan salah laku Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

[ARTIKEL BERKAITAN: ‘Saya temui Hadi terang kesalahan Najib tapi...’]

Mengulas lanjut, Abdul Hadi mengakui beliau ada menemui Mahathir mengenai salah laku Perdana Menteri itu, baru-baru ini.

"Betul, dalam masa dua tiga bulan lepas," jelasnya.

Ditanya tentang tindakan Mahathir yang menyatakan sokongan secara terbuka terhadap calon Pakatan Harapan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, beliau hanya menyifatkan itu perkara kecil.

"Dia pernah jadi Perdana Menteri, kita pernah lawan dia ketika dia tak jadi Perdana Menteri, perkara kecil, bukan besar," ujarnya.


Tiada ulasan: