Rabu, 22 Jun 2016

Pas tidak akan tagih simpati‎

Ahmad Yunus Hairi


SHAH ALAM - Pas tidak akan berundur walau selangkah untuk menagih simpati daripada blok parti pembangkang (Pakatan Harapan).

Timbalan Pesuruhjaya Pas 1 Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, walaupun kecewa dengan keputusan PRK kawasan Parlimen Sungai Besar, Pas tetap istiqamah meneruskan agenda memperbaiki kerosakan negara dengan pendekatan 'Budaya Politik Matang Sejahtera' (BPMS) sepertimana digagaskan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, Pas menghormati keputusan rakyat mengekalkan penguasaan BN di kerusi tersebut namun dalam masa sama, Pas akan tetap sentiasa berusaha memenangi semula hati pengundi secara berhemah dan profesional pada PRU14.

"Pas memasuki PRK Sungai Besar secara ‘underdog’, tetapi Pas ditohmah tidak mempunyai semangat setia kawan, tidak boleh dibawa berunding dan segala macam tohmahan negatif dilemparkan sedangkan parti hanya ingin meneruskan kesinambungan perjuangan di kerusi yang pernah ditandingi sebelum ini.

"Malah Pas mempunyai sejarah perjuangan politik dalam negara ini selama lebih 62 tahun dan selayaknya Pas mendapat sewajarnya daripada blok part pembangkang di dalam usaha jatuhkan Umno/BN," katanya

Ahmad Yunus yang juga Exco Selangor berkata, beliau kecewa apabila kalangan pimpinan yang sebelum ini pernah bersusah payah berjuang di dalam Pas, memburukkan parti di atas pentas ceramah Parti Amanah Negara (Amanah) dengan hasrat untuk menarik undi ahli-ahli tegar Pas.

Katanya, betapa rasa terhinanya apabila orang-orang yang pernah berjasa ini akhirnya ditempelak dan dicemuh kerana meninggalkan perjuangan gerakan Islam yang diterajui Pas.

Menurutnya, Pas Selangor akan mengaplikasikan gagasan BPMS secara bersungguh-sungguh di dalam gerak kerja dan tindakan bersepadu semua jentera parti Pas Selangor di semua peringkat.

"Inilah penyelesaian kita kepada rakyat supaya dapat berikan sokongan yang padu dan tidak berbelah bahagi kepada Pas dan Kuasa Ketiga bagi menjatuhkan BN daripada tampuk pemerintahan negara ,"katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Yunus berterima kasih kepada calon Pas, Dr Abdul Rani Osman yang memikul tanggungjawab berat sebagai calon Pas untuk PRK Sungai Besar.

Walaupun dicemuh dan difitnah, namun beliau tetap dengan politik matang sejahtera menyantuni masyarakat setempat dan pimpinan parti lawan.

"Terima kasih juga kepada pimpinan Pas Pusat dan juga petugas serta sukarelawan Pas yang hadir membantu," katanya.


Tiada ulasan: