Khamis, 2 Jun 2016

PAS mabuk pakai baju hulubalang – Khalid Samad

 
Ketua Komunikasi AMANAH senaraikan lima bukti PAS mabuk


Khalid Samad


SHAH ALAM: AMANAH melawan balik dakwaan Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz bahawa DAP membuatkan parti serpihan PAS “mabuk”.

Ketua komunikasinya, Khalid Abdul Samad menyenaraikan lima bukti bahawa PAS parti mabuk dan berperangai seperti pemabuk, antaranya penggayaan busana tradisional Melayu oleh pimpinan mereka.

“Anggap diri berada di zaman lain. Dia berada dalam kurun 21 tapi pergi perasmian majlis rasmi pakai baju hulubalang abad ke-14! Ini orang mabuk,” katanya di satu sidang media di pejabatnya hari ini.

Nik Abduh dan beberapa pimpinan PAS lain mengenakan pakaian tradisional Melayu, dilengkapi tengkolok dan keris, di perasmian muktamar sayap pemuda parti Islam itu dua hari lalu.

Beliau menyifatkan bekas rakan-rakan seperjuangannya sebagai mabuk kerana kekal bersama parti yang bermasalah.

“Saya nak beritahu pada Nik Abduh mungkin dia tak tahu. Orang mabuk dia tak larat nak buat parti baru. Dia duduk diam dalam parti lama walaupun parti tu bermacam-macam masalah, dia mabuk tak nampak maka kekal dalam parti lama.”

Khalid turut berkata satu lagi bukti PAS mabuk adalah parti itu tidak boleh membezakan kawan dan lawan dengan memuji MCA dan Gerakan tetapi memperlekeh DAP dan PKR.

“Kata-kata tak selari dengan tindakan.

“Dia bentuk blok ketiga lepas tu cakap pasal nak satu lawan satu. Ini macam orang mabuk. Tindakan dan percakapan kamu bercanggah,” katanya.

Tiada ulasan: