Isnin, 27 Jun 2016

Pas lantik Nik Amar pengerusi post mortem punca kalah teruk dalam PRK

 MALAYSIA DATELINE
 
 
Nik Amar Abdullah akan kaji kenapa Pas kalah teruk dalam dua PRK.Nik Amar Abdullah akan kaji kenapa Pas kalah teruk dalam dua PRK.


Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah akan mempengerusikan Jawatankuasa Post Mortem bagi mengkaji keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar 18 Jun lepas yang menyaksikan Pas kalah teruk.

Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata jawatankuasa itu akan menyiapkan laporan sehingga akhir Ogos depan.

Katanya, jawatankuasa itu akan mengenal pasti punca-punca kekalahan Pas di kedua-dua kawasan PRK terbabit.

“Berdasar kepada pemerhatian awal Pas tidak kurang sokongan walaupun gagal memenangi PRK berkenaan.

“Ini kerana undi teras Pas masih kekal. Sebaliknya penyokong PKR dan DAP berpaling arah di mana ada yang menyokong calon BN atau Amanah,” katanya sebagaimana dilaporkan lidah rasmi Pas, Harakahdaily hari ini.

Beliau juga berkata post mortem itu juga akan menilai pengendalian perjalanan pilihan raya secara terperinci.
Pada PRK tersebut Pas hanya menduduki tempat ketiga di Sungai Besar selepas BN dan Amanah manakala di Kuala Kangsar Pas menduduki tempat kedua.

Jumlah undi yang diperolehi oleh Pas dalam kedua-dua PRK ini lebih rendah dari yang mereka perolehi dalam pilihan raya umum 2004 lalu, iaitu pilihan raya yang paling teruk dalam sejarah pencapaian pilihan raya Pas dalam tempoh lebih 20 tahun.

Di Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid memperoleh majoriti 6,969 undi mengatasi calon Pas Dr Najihatussalehah Ahmad dan Amanah Dr Ahmad Tarmizi Ramli.

Di Sungai Besar pula Budiman Mohd Zohdi mendapat majoriti 9,191 undi mengatasi calon Amanah, di tempat kedua dan calon Pas di tempat ketiga.

Takiyuddin juga menyambut baik tindakan Pas Kelantan tidak mahu memberi laluan kepada Amanah untuk bertanding di beberapa kerusi pilihannya.

“Bagaimanapun ia bergantung kepada keputusan PAS Pusat untuk menentukannya,” ujar beliau.

Tiada ulasan: