Isnin, 27 Jun 2016

Pas Kedah nafi kerjasama dengan Umno, minta Mukhriz tidak jadi Nujum

 MALAYSIA DATELINE
 
 
Pesuruhjaya Pas Kedah Ahmad Fakhrudin nafi dakwaan Mukhriz.Pesuruhjaya Pas Kedah Ahmad Fakhrudin nafi dakwaan Mukhriz.


Pas Kedah menafikan dakwaan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa wujud perjanjian antara Umno dan Pas untuk berbahagi negeri membabitkan Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pesuruhjaya Pas Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, selain berunsur fitnah, dakwaan itu hanya cubaan mencipta persepsi negatif dan propaganda buruk yang tidak layak dikeluarkan oleh seorang yang pernah menjawat jawatan menteri besar.

“Pas Negeri Kedah sama sekali tidak pernah menghulur salam mahupun menyambut sebarang usaha atau mengadakan perjanjian sebagaimana dimaksudkan hingga seolah-olah pemerintahan boleh dipotong bahagi seperti kuih bengkang.

“Datuk dinasihat agar lebih profesional dan menjadi diri Datuk yang sebenar-benar serta menumpukan tanggung jawab selaku Adun. Datuk tidak perlu lagi menjadi boneka atau Nujum Pak Belalang,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, dalam sidang media pertama selepas dipecat daripada Umno, Mukhriz memberi amaran kepada Umno Kedah agar bersiap sedia mengembalikan kerajaan negeri kepada Pas kerana mengesyaki ada pakatan antara dua parti itu.

Mengulas lanjut Ahmad Fakhruddin mengingatkan Mukhriz bahawa beliau dijatuhkan oleh kumpulan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah atas alasan kelemahan pemerintahannya akan memberi peluang Pas mengambil kembali Kedah.

“Tidak mungkin mereka yang membunuh politik Datuk atas sebab itu tiba-tiba hendak melepaskan Kedah kepada PAS?” soalnya.

Menurut beliau juga, Pas mengemukakan pendekatan politik matang dan sejahtera (BPMS) dengan mengamalkan politik berteraskan demokrasi mandat daripada rakyat.

“Pas tidak menjadikan jalan singkat, pemerdayaan dan tipu muslihat untuk merampas kedudukan. Pas juga tidak dayus untuk membiarkan Umno terus bermaharajalela dengan maksiat dan kemungkaran pemerintahan,” tegasnya.

Pas sebaliknya kata beliau,  mahukan mandat yang kuat daripada rakyat menerusi demokrasi adil mengikut penggal dan tatacaranya.

“Pas komited menentang Umno/BN dengan menyediakan kekuatan di seluruh negara. Iaitulah menandingi kerusi pilihan raya di mana sahaja Umno bertanding hingga dapat menurunkan Umno/BN dari tampuk pemerintahan negeri serta Putrajaya.

“Pas berpendirian bahawa Umno adalah liabiliti yang membebankan untuk dipikul serta wajib ditolak. Dosa Umno terlalu berat untuk ditanggung dan Malaysia mesti segera diselamatkan,” katanya.

Tiada ulasan: