Isnin, 27 Jun 2016

PAS: Kalau benar dakwaan Mukhriz, sertai saja kami

 
Tuan Ibrahim ingatkan Mukhriz siapa yang menyokongnya ketika krisis MB dulu.


tuan-man-mukhriz


PETALING JAYA: PAS hari ini mempelawa Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyertai parti itu sekiranya mahu kembali bertugas sebagai menteri besar Kedah.

Ia susulan dakwaan Mukhriz semalam terdapat usaha memberi jalan kepada PAS menubuhkan kerajaan Kedah pada pilihan raya umum akan datang.

“Beliau kena masuk PAS, baru boleh jadi Menteri Besar semula. Barulah hatinya boleh puas. Hal ini kerana beliau akhirnya dapat menumpaskan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah yang memberontak terhadapnya sehingga beliau kehilangan jawatan sebagai menteri besar,” kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Semalam, Mukhriz memberi peringatan kepada Umno Kedah yang ia bakal kehilangan negeri kepada PAS akibat “pakatan peringkat tertinggi” Umno-PAS.

“Umno Kedah perlu siap sedia menyerahkan kerajaan Negeri kepada PAS. Seolah-olah ada pakatan antara Umno dan PAS di peringkat tertinggi, dan sudah nampak menjurus ke arah itu.

“Mereka cuba menyatukan PAS dan Umno. Saya merasakan Kelantan, Terengganu dan Kedah akan diberikan kepada PAS (untuk tujuan itu),” kata bekas menteri besar Kedah yang baru dilucutkan keahlian Umno itu.

Tuan Ibrahim berkata PAS akan terus berusaha merampas semula Kedah daripada Umno.

“PAS tetap akan bertanding melawan Umno di Kedah. Penentu kemenangan ialah rakyat dan bukannya mana-mana parti politik,” katanya kepada FMT, hari ini.

Beliau turut mengingatkan Mukhriz mengenai sokongan ahli Dewan Undangan Negeri dari pembangkang ketika mengadakan pertemuan dengan Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah dulu.

“Harap-harap Mukhriz ingat semula siapa yang dokong dia dan siapa yang tidak dokong dia ketika istana minta berjumpa dengan semua Adun dari pembangkang dan BN,” jelasnya.

Tiada ulasan: