Sabtu, 4 Jun 2016

Pas bekukan kerjasama dengan PKR

RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS


BUKIT CHANDAN - Pas Kuala Kangsar membekukan kerjasama dengan PKR Kuala Kangsar sepanjang PRK Parlimen berkenaan berikutan parti itu menyokong calon Amanah, Dr Ahmad Termizi Ramli.

Yang Dipertuanya, Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, kehadiran Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada majlis pengisytiharan calon Amanah bagi PRK terbabit bukti sokongan itu.

“Bagaimana Presiden PKR boleh hadir menyokong calon yang akan menentang rakan tahalufnya (Pas)?

“Pada saya, ia satu tindakan tikam belakang terhadap kami di Kuala Kangsar selain merupakan pengkhianatan terhadap tahaluf siyasi yang diasaskan bersama,” katanya.

Menurutnya, tindakan lanjut berhubung kerjasama itu akan  diserahkan kepada Pas Perak untuk menentukannya.

“Sebagai Yang Dipertua, saya sedikit tergores atas kehadiran dan ceramahnya di sana. Tergores kerana setahu saya Pas dan PKR masih rakan tahaluf,” katanya.

Mengulas mengenai PRK itu, beliau berkata, Pas Kawasan Kuala Kangsar akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan diraih calon parti, Dr Najihatussalehah Ahmad.

Katanya, beliau optimis dengan peluang Pas dalam PRK itu meskipun akan berlaku pertandingan tiga penjuru.

“Malaysia sebuah negara demokrasi tidak pernah menghalang mana-mana parti atau individu dari bertanding dalam apa jua pilihan raya,” katanya.

Tiada ulasan: