Sabtu, 4 Jun 2016

PAN parti pengacau di dua kerusi PRK

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (PAN) dilabel sebagai parti 'pengacau' dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar, petik laporan komentar Utusan Malaysia hari ini.
 
Menurut penulis, selepas PAS, PAN pula dilihat sebagai 'kuda tungangan' DAP dan PKR yang tidak mempunyai apa-apa kekuatan berbanding PAS yang kini berani mengorak langkah bersendirian selepas meninggalkan Pakatan Rakyat (PR).
 
"PAN bukan tandingan PAS malah sama sekali tidak akan mampu mencontohi waima parti-parti serpihan PAS lain seperti Hizbul Muslimin (HAMIM) dan Angkatan Keadilan Islam  Malaysia (AKIM).
 
"Justeru pemimpin-pemimpin PAN tidak boleh marah jika ada pihak khususnya daripada PAS melabel mereka sebagai 'parti pengacau'. Dahulu ketika berada dalam PAS, mereka mengganggu kestabilan dan perjuangan PAS apabila lebih bersedia menyokong apa juga tindakan DAP dan PKR biarpun bertentangan dengan dasar PAS," kata penulis.
 
Malah selepas meninggalkan PAS, golongan yang menubuhkan PAN terus menerus mengganggu parti itu apabila berkeras mahu meletakkan calon mereka di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
 
"PAN tahu mereka tidak ada kekuatan. Mereka hakikatnya tidak layak pun untuk mencabar Barisan Nasional (BN) mahupun PAS. Namun PAN bernafsu besar, mereka ingin menunjukkan kononnya mempunyai sokongan. 
 
"Hakikatnya kehadiran PAN dalam kedua-dua PRK itu bukanlah demi untuk membela nasib rakyat, tetapi sekadar untuk 'melepaskan geram' khususnya bagi membuktikan bahawa mereka lebih kuat daripada PAS," katanya.
 
PAN juga tahu mereka tidak akan mampu mencapai kemenangan namun masih menaruh harapan untuk meraih undi lebih daripada PAS yang didakwa matlamat utama parti  bertanding.
 
"Melalui cara itu mereka boleh menggunakannya sebagai modal bagi memberitahu rakyat khususnya orang Melayu bahawa parti mereka jauh lebih hebat daripada PAS. Bagaimanapun PAS tidak boleh menafikan fakta bahawa mereka hakikatnya hanya parti serpihan," soal Utusan.
 
Malah langkah PAN untuk bertanding di kerusi yang ditolak DAP memperlihatkan parti itu belum selesa dalam gabungan pembangkang itu biarpun diterima untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).
 
PAN jelas mengatur pergerakan selamat apabila Ketua Pengarah Strateginya Khalid Samad menggesa agar PKR menghentikan rundingan dengan PAS bagi memudahkan PAN meletakkan calon bagi mewakili PH.
 
"Jika PAN mahu memiliki wakil dalam DUN atau Parlimen, mereka perlu mencari kerusi paling selamat. Buat masa ini tiada satu kerusi pun yang berada pada kedudukan tersebut kecuali PAN memujuk DAP menyerahkan kerusi mereka sebagai tanda persahabatan.
 
"Tetapi pun belum tentu DAP akan bersedia berbuat demikian, sebaliknya mereka mahu PAS yang berkorban menyerahkan kerusi kepada PAN, biarpun mereka memahami PAS bukanlah sekutu dalam pakatan pembangkang," ujarnya lagi.
 
 

Tiada ulasan: