Khamis, 23 Jun 2016

Pakatan Harapan diminta ubah strategi berkempen pada PRU14

HAZAYANI ZAKARIA
 
 
Suhaizan Kaiat (kiri) dan  Hasbie MudaSuhaizan Kaiat (kiri) dan Hasbie Muda


 Serangan kepada Parti Amanah Negara (Amanah) sepanjang tempoh kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar memberi keuntungan kepada BN dan Pas.

Setiausaha Organisasi Amanah, Suhaizan Kaiat  berkata, jentera BN dan Pas sangat kurang berbalas serangan sebaliknya serangan hanya tertumpu kepada Amanah yang mewakili Pakatan Harapan.

“Hanya Amanah mewakili Pakatan Harapan mendapat serangan daripada dua penjuru BN dan Pas. Model PRK ini telah menguntungkan BN dan boleh memberi kemenangan berganda kepada BN dalam pilihan raya umum ke-14,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pemuda Amanah Terengganu Hasbie Muda berpandangan, undi Amanah di kawasan Melayu yang agak rendah berpunca daripada sikap Amanah yang terlalu defensif.

Beliau berkata, Amanah tidak membalas serangan Pas walaupun pelbagai cercaan dan maki-hamun dilemparkan oleh mereka.

“Amanah juga memilih untuk tidak banyak menjawab kononnya 'yang lepas itu lepaslah',” katanya.

Sikap berdiam diri ini katanya akan dilihat seperti mengiyakan tuduhan yang dibuat pihak lawan.

“Psiko politik orang Melayu berbeza dengan orang Cina. Pengundi luar bandar berbeza cara berfikir berbanding dengan di kawasan bandar. Cara fikir golongan terpelajar berbeza dengan yang berpendidikan rendah.

“Apabila anda banyak berdiam diri, ia akan dilihat mengiayakan tuduhan yang dibuat oleh pihak lawan.

“Semakin kerap label diberikan, lama-kelamaan ia akan terus melekat. Orang akan percaya suatu pembohongan yang diulang-ulang,” katanya yang juga penulis buku politik.

Sehubungan itu beliau berkata, Amanah perlu mengubah strategi menjelang PRU14 dengan menggandakan penerangan kepada rakyat.

“Menghadapi PRU14, strategi perlu diubah. Penerangan perlu digandakan dengan lebih agresif,” katanya.

Di Sungai Besar, BN menang dengan majoriti 9,191 undi. Calon BN Budiman Mohd Zohdi mendapat 16800 undi manakala Amanah memperoleh 7,609 undi dan Pas 6,902 undi.

Di Kuala Kangsar pula, calon BN Mastura Mohd Yazid meraih 12,653 undi manakala calon Pas, Dr Najihatussalehah Ahmad (5,684), calon Amanah, Ahmad Termizi Ramli (4,883) manakala calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary (54).

Tiada ulasan: