Khamis, 23 Jun 2016

Nurul Izzah dan Wan Azizah mahu Anwar diberi penjagaan penuh di hospital

MALAYSIA DATELINE
 
 
Anwar IbrahimAnwar IbrahimKeluarga bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi tujuan penjagaan penuh Anwar di Hospital Kuala Lumpur atas faktor kesihatan yang membimbangkan.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah menerusi surat bertarikh 18 Jun 2016 berkata, pada 15 Jun lalu, Anwar dikejarkan ke hospital kerana mengadu sakit di bahagian belakang.

“Pada 17 Jun, pihak keluarga dimaklumkan tentang penangguhan rawatan Magnetic Resonance Imaging (MRI) disebabkan tekanan darah masih tinggi dan tidak sesuai untuk prosedur MRI,” katanya menerusi surat rasmi beralamat ke Pejabat Perdana Menteri.

Nurul Izzah berkata, faktor dikenal pasti punca tekanan darah Anwar tidak stabil ialah pemindahan dari satu lokasi ke satu lokasi secara drastik dan wujud ketumbuhan dalam ginjalnya.

“Apa yang dipinta adalah penjagaan rapi menepati keadaan beliau yang uzur di umur menjangkau 70 tahun di hospital sepenuhnya. Malangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalami pemindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain secara drastik.

“Dari penjara ke mahkamah, penjara ke hospital, kemudian ke penjara lagi. Pastinya proses perpindahan ini menyebabkan tekanan darah menjadi tidak menentu,” katanya.

Menurutnya, Anwar sepatutnya menerima rawatan fisioterapi berkala secara optimum sementara menunggu pembedahan di bahu yang ditawarkan Georgetown University.

“Perlu diingat, semasa mula-mula ditahan, Anwar hanya alami frozen shoulder. Namun, kerana penahanan di dalam lokap tanpa katil untuk bulan pertama sebelum dipindahkan ke ruang lebih selesa, kecederaan bahu beliau semakin runcing.

“Fisioterapi yang jarang-jarang berlaku, memandangkan keengganan pihak penjara menghantar Anwar ke hospital untuk rawatan intensif (seperti 1999 hingga 2004) akhirnya menjadikan kecederaan bahu bertindan dengan sakit tulang belakang berulang.

"Saya tidak boleh terus melihat kesihatan ayahanda merosot dengan tempat penahanan yang tidak sesuai dengan keperluan ayahanda yang bakal mencecah umur 70 tahun,” katanya.

Tambahnya, selaku bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar wajar mendapat layanan lebih baik berbanding bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo yang diberi kemudahan tahanan parol di rumah walaupun sabitan kurang setahun.

“Besar harapan saya sekeluarga agar pihak perdana menteri mempertimbangkan Anwar dibenar dirawat di hospital sepenuhnya sehingga mendapat ruang pembedahan kelolaan Georgetown University," katanya.

Wan Azizah, Nurul Izzah dah Anwar IbrahimWan Azizah, Nurul Izzah dah Anwar Ibrahim

Manakala isterinya Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Anwar turut mengadu masih sakit bahu sehingga menyebabkannya dimasukkan ke hospital minggu lalu.

“Dia terpaksa dipantau, dan sekarang memang adalah fasa mencabar untuk beliau.

“Mana tidaknya sakit belakang pun tidak baik-baik, bagaimanapun dia masuk wad sekejap sahaja.

“Namun saya amat berharap dia cepat pulih,” katanya mengulas tahap kesihatan Anwar selepas dimasukkan ke hospital minggu lalu.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Hospital Pulau Pinang lapor Sinar Harian.

Hadir sama Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Timbalan Ketua AMK Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin.

Tiada ulasan: