Isnin, 27 Jun 2016

Muhyiddin berhak tubuh parti baru dan tanding PRU14 - Rais Yatim

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin berhak untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang sama ada sebagai calon bebas ataupun menubuhkan parti baru.
 
Namun menurut Veteran Umno Tan Sri Dr Rais Yatim, sebelum Muhyiddin memilih jalan itu, ahli Parlimen Pagoh berkenaan hendaklah mengambil kira kesan daripada keputusan yang bakal diambilnya kelak.  
 
"Negara kita (amalkan) demokratik jadi semua hak itu harus dihormati walaupun dalam situasi Muhyiddin yang sudah tidak menjadi ahli Umno. Jika beliau berhasrat bertanding di Pagoh, tiada siapa yang boleh menghalang.
 
"Tentulah beliau akan bertanding atas tiket yang lain sama ada bebas ataupun atas nama parti lain. Perkara itu perlu ditimbang sedalam-dalamnya sebelum beliau nak mengambil tindakan," katanya kepada Antarapos.
 
Semalam Muhyiddin memberitahu akan mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh tetapi masih belum membuat keputusan sama ada bertanding atas tiket bebas ataupaun menyertai parti sedia ada.
 
Jumaat lalu Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan untuk memecat Muhyiddin dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta merta daripada parti itu.
 
Pemecatan itu dibuat kerana mereka sering mempersoalkan pemimpin tertinggi Umno bersabit isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu derma RM2.6 bilion, meskipun ia masih dalam siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
 
Kedua-dua mereka juga kerap kali menyertai pembangkang dalam usaha menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi Deklarasi Rakyat yang dipimpin bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad.
 
Ketika ditanya mengenai kebarangkalian Muhyiddin mewujudkan parti baru bersama Mukhriz dan Mahathir, Rais tidak menolak kemungkinan itu.
 
Malah beliau berkata jika itu yang berlaku, ia bakal memecahkan lagi undi Melayu yang sedia ada.
 
 

Tiada ulasan: