Isnin, 27 Jun 2016

Muhyiddin bayangkan tanding kerusi Pagoh atas tiket selain BN pada PRU14

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh biarpun terpaksa bertanding sebagai calon bebas di Pilihan Raya Umum ke- 14 (PRU14) akan datang.
 
Katanya keputusan berkaitan platform mana yang akan dipilih beliau masih terlalu awal untuk diputuskan tatkala banyak pihak mahu beliau menyertai gabungan pembangkang selepas dipecat sebagai ahli Umno.
 
"Kalau saya bertanding, sudah tentu saya menentang BN itupun kalau saya nak bertanding. Kalau saya bertanding takkan MCA nak terima saya (sebagai calon). Saya bukan lagi dalam BN. Kalau nak bertanding takkan saya nak bertanding atas tiket Umno.
 
"Keputusan yang kami buat adalah satu keputusan yang besar. Dan tidak pernah mimpi oleh kami," katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya, lewat petang ini.
 
Muhyiddin mendakwa akar umbi Umno bahagian Pagoh bertegas untuk beliau meneruskan usaha untuk mempimpin serta mewakili mereka.
 
"Saya dah jumpa pemimpin Pagoh malam selepas saya dipecat, mereka nak ketahui apa kedudukan. Saya jelaskan Ahli Parlimen Pagoh (yang kini) bebas, saya dah nyatakan kepada pemimpin Pagoh yang masih nyatakan sokongan pada saya, mereka menolak keputusan MT.
 
"Mereka lebih mengetahui kedudukan saya dan tindakan saya lakukan," katanya merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan Umno Pagoh, Hairul Izam Abd Samat yang menolak pemecatan Muhyiddin semalam.
 
Majlis Tertinggi (MT) Umno pada Jumaat memutuskan untuk memecat Muhyiddin dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta merta daripada parti itu.
 
Ia ekoran tindakan kedua-dua mereka yang kerap mempersoalkan pemimpin tertinggi Umno bersabit isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu derma RM2.6 bilion, meskipun ia masih dalam siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
 
Kedua-dua mereka juga kerap kali menyertai pembangkang dalam usaha menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi Deklarasi Rakyat yang dipimpin bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad.
 
"Soal sama ada memasuki parti politik lain, kami sudah tidak ada lagi platform apabila dipecat dari Umno, kami berdiri atas keadaan politik tidak ada hubungan mana-mana parti.
 
"Soalnya sama ada situasi ini lestari dan bersesuaian untuk masa depan demi melihat masa depan negara lebih baik, dalam situasi memberi keadilan pada rakyat jelata," jelas Muhyiddin yang ditemani isterinya, Puan Seri Norainee Abdul Rahman dalam sidang medianya.
 
Tambah Muhyiddin, keputusan untuk memulakan platform baru politiknya setelah dipecat dari Umno bersama Mukhriz merupakan satu keputusan yang besar pernah dibuat beliau selepas tidak lagi bersama Kabinet tahun lalu.
 
"Ini keputusan sangat besar dalam sejarah hidup kami, kami mempunyai hasrat dan niat untuk bantu supaya krisis kepemimpinan harus dapat diatasi.
 
"Apakah rakyat mengkehendaki satu perubahan besar, satu pembaharuan yang boleh menjamin masa depan rakyat lebih baik, menolak rasuah dan mewujudkan institusi lebih mantap. Buat reformasi, ini isu pokok yang perlu difikirkan," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: