Khamis, 23 Jun 2016

Mufti: Hukum suntikan vaksin adalah harus

Dr Zulkifli Mohamad Albakri
Mutfti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Albakri


SHAH ALAM - Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan hukum suntikan vaksin sebagai harus sama ada untuk merawat penyakit ataupun bersifat pencegahan daripada dijangkiti penyakit.

Menurutnya, ia selaras dengan pendapat ramai tokoh ulama namun ia perlu menepati beberapa kriteria.

“Pertama, berlakunya keperluan yang mendesak dan kedua, testimoni telah mengatakan ia dapat memberikan kesan yang baik.

“Ketika, elakkan bahan yang bersifat najis kecuali jika dalam keadaan terpaksa dan keempat, sifat sebagai pengawalan daripada penyakit adalah telah terbukti.

“Akhir sekali, tiada kesan sampingan dan mudarat yang lebih besar berlaku kepada mereka yang disuntik dengan vaksin,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, seorang kanak-kanak berusia dua tahun dilaporkan meninggal dunia, seorang kritikal manakala lima lagi adik-beradiknya dikuarantin di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dipercayai akibat dijangkiti bakteria difteria.

Sebelumnya pula, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun meninggal dunia akibat dijangkiti bakteria difteria di Melaka.

Dalam pada itu, Zulkifli mengajak orang ramai merujuk sesuatu isu itu dengan pakarnya.

“Marilah kita sama-sama menginsafi diri kita dengan merujuk setiap sesuatu itu kepada pakarnya.

“Jika ia berkaitan dengan soal kesihatan maka sudah tentulah yang paling berautoriti terhadapnya adalah Kementerian Kesihatan dan pakar-pakar mereka,” katanya.


Tiada ulasan: