Rabu, 22 Jun 2016

Mudarat lebih besar bersekongkol dengan DAP, PAN

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Moha­mad memberi amaran bahawa tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad bersekongkol de­ngan DAP dan PAN akan membawa kemudaratan lebih besar kepada orang Melayu.
 
Beliau menegaskan, tindak-tanduk bekas Per­dana Menteri bersekongkol dengan DAP dan PAN yang disifatkannya sebagai ‘anak syarikat DAP’ semata-mata kera­na mahu mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar akan menimbulkan kesan lebih buruk kepada negara.
 
Menurut beliau, janganlah kerana tidak mahu Datuk Seri Najib Tun Razak terus menjadi Perdana Menteri maka beliau sanggup menyerahkan kerajaan kepada pembangkang yang diterajui oleh DAP.
 
Akibatnya, kata Abdul Hamid, sekali orang Melayu ter­le­pas tampuk pemerintahan, ha­rapan untuk memperoleh se­mula amat tipis sekali.
 
“Saya juga merasa sedih melihat Dr. Mahathir, di masa tua dan uzur, bersama-sama musuh politiknya yang berdekad-dekad, berusaha untuk menjatuhkan kerajaan yang dipertahankannya sekian lama.
 
“Apa jadi kepada pengorbanannya selama ini? Walaupun ada perkara yang saya tidak bersetuju dengan beliau, tetapi, saya ingin terus menghormati beliau di atas pencapaiannya dalam perkara-perkara lain yang saya kagumi itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
 
Kelmarin, Abdul Hamid meminta Dr. Mahathir mengambil iktibar daripada keputusan para pe­ngundi di kedua-dua PRK itu yang memberikan kemenangan kepada BN demi mahu melihat Melayu bersatu dan bukan terus bercakaran.
 
Menurut beliau, Dr. Mahathir tidak seharusnya merosakkan integriti dan pencapai­an yang diperoleh sepanjang ha­yat beliau dengan memilih arah yang bertentangan di penghujung jalan.
 
Dalam pada itu, berhubung kenyataannya kelmarin, Abdul Hamid menjelaskan, beliau bercakap mengenai ‘kapal’ iaitu UMNO dan bukannya ‘nakhoda’ iaitu Najib.
 
Beliau menjelaskan, mana-mana pihak tidak harus membakar kapal hanya kerana marahkan nakhoda apatah lagi bersekongkol dengan ‘nakhoda-nakhoda kapal musuh’ demi menghumbankan ‘nakhoda kapal’ sendiri ke laut.
 
“Saya khuatir nakhoda-nakhoda kapal musuh itu akan mengambil kesempatan untuk menenggelamkan kapal kita sendiri. Siapa untung? Biarlah anak kapal sendiri menentukan kedudukan nakhoda mereka.
 
“Terus terang, saya tidak kisah jika Dr. Mahathir berkempen dalam kalangan ahli-ahli UMNO untuk ‘memaksa’ Najib melepaskan jawatan Presiden UMNO dan jawatan Perdana Menteri.
 
“Malah, saya juga tidak kisah jika beliau berkempen supaya Parlimen meluluskan undi tidak percaya terhadap Najib (bukan terhadap Kerajaan BN) dan de­ngan itu, ‘memaksa’ beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Tetapi, saya tidak bersetuju Dr. Mahathir bersekongkol dengan DAP dan PAN,” katanya.
 
Beliau berkata, jika tidak mahu Najib terus menjadi Perdana Menteri sekali pun, janganlah sampai hendak menjatuhkan kerajaan BN serta menyerahkannya kepada DAP atau pakatan pembangkang kerana mudaratnya lebih besar kepada orang Melayu.
 
 

Tiada ulasan: