Khamis, 2 Jun 2016

Menjelang Ramadan, DBKL jangan kejam terhadap gelandangan

lip eng dbkl

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memindahkan kira-kira 30 gelandangan ibu kota ke beberapa lokasi yang jauh dari ibu kota, seperti dilaporkan media semalam menimbulkan kemarahan Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng.

Hairan juga kenapa rumah transit gelandangan yang telah mula beroperasi sejak beberapa bulan yang lalu tidak pula dimanfaatkan DBKL bagi menyediakan tempat tinggal sementara kepada golongan yang kurang bernasib baik itu.

“Apa tujuan DBKL mengangkut warga miskin kota dan kemudiannya menghantar mereka sampai ke tepi jalan lebuhraya Karak kalau sudah tersedia rumah transit untuk mereka?

“Adakah projek rumah transit yang baru siap dibina pada bulan Februari lalu, serta menelan kos RM3 juta itu sudah gagal dan ternyata sia-sia? Atau adakah ia tidak cukup untuk menampung keperluan warga miskin kota sedia ada?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Lip Eng yang juga Ahli Parlimen Segambut menggesa supaya tindakan tegas diambil dengan segera terhadap mereka yang mengeluarkan arahan kejam dan menganiaya golongan kurang bernasib baik berkenaan.

“Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abd Aziz mesti bertindak tegas ke atas sikap yang tidak berperikemanusiaan ini, dan berikrar supaya isu ini tidak disenyapkan begitu sahaja,” katanya.

Malah, beliau menasihati DBKL supaya mendidik petugasnya untuk bersikap mulia terhadap golongan gelandangan serta menghayati malah memahami kesusahan yang terpaksa ditanggung mereka akibat kekurangan yang dihadapi.

“Menghampiri bulan puasa, perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Lip Eng turut mengkritik sikap hipokrit kerajaan Barisan Nasional yang seolah-olah tidak mengendahkan nasib golongan tertindas di negara sendiri, sebaliknya memberikan keistimewaan dan layanan yang baik terhadap warga luar.

“Negara luar mungkin menyangka alangkah gilanya kerajaan Malaysia yang melayan golongan kurang bernasib baik dari kalangan kita bagai anjing kurap, namun gigih menyewa jet peribadi empat hari lalu untuk menerbangkan 68 orang pelarian Syria dan memberi pula kediaman mewah dengan pengawal keselamatan di Setia Alam. Ini sangat menghairankan,” katanya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: