Isnin, 6 Jun 2016

Menjamu selera dalam kebun getah

Menjamu selera dalam kebun getah
Suasana nyaman di bawah pokok getah menimbulkan suasana kampung yang tenang.
 


MELAKA - Walaupun kedai makan di negeri ini bagaikan cendawan tumbuh ketika ini, namun dengan memberi kelainan ia dapat menggamit pelanggan untuk datang menjamu selera.

Berkonsepkan santai, malah lokasinya seolah-olah berada dalam kawasan kampung menarik minat wartawan Sinar Harian untuk merasai sendiri pengalaman menjamu selera di dalam kebun getah. Tentu ada yang istimewa.

Jelas, dari pemerhatian wartawan, walaupun menyediakan menu ringkas sahaja, tapi seawal jam 7.30 pagi lagi, orang ramai sudah mula membanjiri warung milik Johari Daud, 47, yang baru dibuka sebulan lalu di Jalan Alor Gajah Lama, Kampung Air Semubuk, Durian Tunggal, di sini.

Menurut Johari, sebelum ini, dia sudah berniaga banyak tempat bersama isteri, Nizan Manaf, 53, di samping anak-anak namun rezeki kurang menyebelahi keluarganya.

“Dah banyak tempat berniaga dan berpindah randah. Selepas berfikir dan tawakal, akhirnya kami membina warung kecil-kecilan ini di tanah milik ibu dengan kebenarannya.

“Hari pertama berniaga, saya paling takut tak ada orang nak datang. Untuk roti canai saya hanya buat empat kilogram saja pada hari tersebut. Tapi  tak sangka boleh habis, bahkan bertambah permintaan.

Sehingga kini saya terpaksa buat tujuh hingga lapan kilogram tepung uli sehari,” katanya.

Warung guna barang terpakai

Bapa kepada lima anak itu berkata, dia tawakal untuk membuka warung di kawasan kebun getah kerana beranggapan ia unik dan dilihat sebagai lokasi yang santai.

“Memang pagi-pagi ada yang menoreh. Jadi, sambil bersarapan pagi pelanggan bolehlah lihat orang menoreh. Tempat ini selesa untuk mereka yang gemar suasana kampung dan lari dari kesesakan kota.

“Buat masa sekarang, saya bina warung ini dari barang terpakai kerana kekurangan modal. Tapi ada yang cakap lagi unik buat sendiri. Jimat pun jimat,” katanya berseloroh.

Dia kini dalam usaha untuk menambah bilangan meja dan kerusi di samping mahu simen lantai agar lebih selesa buat pelanggan yang datang.

“Modal dah banyak sikit, bolehlah saya simen lantai. Maklumlah, atas tanah takut ada kucing yang buang air, nanti bau busuk pula.

“Setakat ini kami berniaga hanya waktu pagi iaitu dari jam 7.30 pagi hingga 12 tengah hari. Menu pula adalah kegemaran rakyat Malaysia iaitu roti canai, murtabak, kuih muih, nasi lemak dan lontong,” katanya.

Bagi dirinya, dia hanya merancang namun tuhan yang menentukan segalanya, yang penting sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan memberi keselesaan untuk keluarga.

Tukar masa berniaga sempena Ramadan

Dalam pada itu, Johari berkata, sepanjang Ramadan, dia akan menukar waktu operasi dari jam 3 petang sehingga waktu berbuka.

“Saya tetap akan buka kedai, sebab ini sahajalah punca pendapatan saya sekeluarga. Menu pula seperti biasa iaitu murtabak, kuih muih dan lain-lain. Kalau tak buka, tak dapatlah kami berhari raya,” katanya berseloroh.

Di samping itu, katanya, dirinya juga berniat untuk berniaga sambil bersedekah agar rezekinya sentiasa dimurahkan ALLAH dan mendapat barakah.

“Bagi saya, apa salahnya berniaga sambil bersedekah. Lebih-lebih lagi pada bulan mulia ini. Lepas tamat berniaga, saya bercadang nak sedekah kuih muih sikit ke surau atau masjd berdekatan agar rezeki yang saya terima dapat dikongsi bersama,” katanya.


Tiada ulasan: