Selasa, 21 Jun 2016

Lulus Grab ada unsur politik, dakwa pengasas syarikat teksi

 
Pengasas Big Blue Taxi dakwa pemilik perkhidmatan Grab mempunyai hubungan baik dengan MCA


Datuk-Shamsubahrin-Ismail-Mohd-Tom


SHAH ALAM : Hubungan antara peniaga dan parti politik dikatakan telah mempengaruhi rancangan meluluskan perkhidmatan perkongsian kenderaan Grab.

Dakwaan itu dibuat pengasas syarikat teksi premium Big Blue Taxi Service, Datuk Shamsubahrin Ismail kepada pemberita di majlis berbuka puasa syarikat itu hari ini.

“Memandangkan Grab dimiliki oleh Tan Chong Motor – Tan Chong baik dengan MCA dan Presiden MCA ialah Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Liow Tiong Lai) – jadi adalah tak patut (diluluskan).

“Kementerian tak berani nak luluskan sebab dia dah bawah MCA. Jadi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat yang jadi orang suruhan,” dakwanya, ketika ditanya samada bersetuju dengan rancangan meluluskan perkhidmatan Grab dan Uber.

Grab sebelum ini dikenali sebagai MyTeksi di Malaysia diasaskan oleh Anthony Tan, anak kepada President Tan Chong, Datuk Tan Heng Chew.

Heng Chew dilaporkan tidak melabur dalam syarikat itu semasa ia dimulakan, dan Anthony pernah dilaporkan tidak berminat untuk menyertakan syarikatnya ke dalam Tan Chong.

Sabtu lalu, SPAD menyerahkan cadangan Program Transformasi Industri Teksi kepada kerajaan yang antara lain mencadangkan perkhidmatan Uber dan Grab dibenarkan beroperasi secara sah, disamping menyamaratakan medan persaingan untuk pemandu teksi.

Pembentangan cadangan itu selepas pemandu teksi mengadakan tunjuk perasaan di ibu negara Mac lalu mendesak aplikasi Uber dan Grab diharamkan.

“Makmal teksi yang telah dijalankan oleh SPAD pada Disember 2015, telah mengesahkan bahawa penyelesaian permasalahan di dalam industri teksi bukanlah satu tugas yang mudah,” menurut SPAD dalam satu kenyataan 18 Jun lalu.

Sementara itu, Shamsubahrin turut tidak bersetuju sekiranya Uber dibenarkan beroperasi secara sah walaupun perkhidmatan itu mempunyai sistem yang bagus.

“Tapi perlaksanaan dia (Uber) salah sebab tidak ada permit, tidak ada lesen memandu, tidak ada insurans,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan syarikat milik kerajaan, Khazanah Nasional Berhad telah melabur secara tidak langsung dalam Uber sejak tahun lepas.

“Tak perlu luluskan sekarang. Simpan dalam perhatian dulu. Perbetulkan teksi dan kemudian tengok macam mana nak sertakan Uber,” katanya.

Menurut Shamsubahrin, 75,000 teksi yang ada sekarang ini di seluruh negara akan terganggu sekiranya Uber diluluskan sebelum transformasi industri teksi dilaksanakan.

“Dulu Transit Aliran Ringan (LRT) ada masalah, kerajaan keluarkan pelaburan untuk transformasi dan tambahbaik.

“Kerajaan boleh belanjakan berbilion pada Aliran Transit Massa (MRT) mengapa pula tidak boleh belanjakan pada transformasi teksi?” soalnya.

Tiada ulasan: