Isnin, 6 Jun 2016

Lebih panjang keris, lebih nasionalis parti itu - Dr M

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegur PAS kerana cuba menjadi lebih nasionalis daripada Umno.

Beliau berkata PAS pernah mengkritik Umno kerana bersifat nasionalis, tetapi kini parti Islam itu menjulang sebilah keris lebih panjang daripada 'keris' parti nasionalis Melayu itu.

Muktamar PAS ke-62 di Kota Bharu baru-baru ini menyaksikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menghunus keris replika gergasi bagi memotong kek yang kelihatan seperti bendera parti tersebut.

"Sebelum ini, mereka kutuk Umno kerana nasionalis. Sekarang mereka lebih nasionalis, kerana keris mereka adalah lebih panjang daripada keris Umno.

"Lihat, kamu ukur nasionalisme oleh panjang keris. Jika ini lebih panjang, maka ia adalah lebih nasionalis.

"Mereka telah sedar bahawa mereka adalah orang Melayu," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Kuala Lumpur petang ini.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad mempertahankan penggunaan keris gergasi itu dengan mengatakan bahawa ia menjadikan acara itu lebih berwarna-warni.

Sementara itu, menjawab satu soalan, Dr Mahathir berkata PAS dan Umno kini menjalinkan hubungan kerana saling memerlukan.

"PAS telah kehilangan penyokong sendiri, dan Umno sedang mencari penyokong. Jadi mereka bekerja bersama-sama,"katanya.

Sebelum sidang akhbar itu, Mahathir melancarkan autobiografi Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali edisi Bahasa Melayu bertajuk 'Perjuangan Tanpa Noktah', manakala isteri bekas perdana menteri itu Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali melancarkan edisi bahasa Inggeris 'The Misunderstood Man'.

Apabila ketua PERKASA itu ditanya mengenai pendirian parti itu terhadap Rang Undang-Undang yang diusulkan PAS Ibrahim berkata, PERKASA biasanya akan menyokong apa-apa berkaitan dengan Islam.

Namun katanya ia harus mengikut ajaran Islam sebenar dan adil kepada semua, bukan sahaja orang Islam tetapi juga bukan Islam.

Pada ketika itu, Mahathir mencelah untuk menjelaskan bahawa dalam al-Quran, terdapat 43 ayat yang menekankan mengenai kepentingan berlaku adil dalam menjatuhkan keadilan.

"Jika orang Cina dan Melayu mencuri bersama-sama, mengikut apa yang mereka (PAS) cadangkan sekarang, tangan orang Melayu akan dipotong tapi orang Cina hanya masuk penjara selama dua bulan," katanya dalam sesi dialog sempena pelancaran buku Apa Habaq Orang Muda di Kuala Lumpur semalam.

"Adakah itu (perbezaan hukuman) adil? Saya rasa anda tidak akan mengatakan ia adil.

"Keadilan hanya boleh dicapai jika hukuman adalah sama untuk kedua-dua pesalah.


Tiada ulasan: