Jumaat, 24 Jun 2016

Laporan Azizah cabar Tun Mahathir tanding PRU diputarbelit - Fahmi Fadzil

Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Laporan berita bertajuk 'Wan Azizah mencabar Tun M bertanding dalam PRU' tidak benar dan diputarbelit media, dakwa Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.
 
Menurut Fahmi, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak mencabar Tun Mahathir seperti yang dilaporkan tetapi hanya membetulkan kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Keruak berkenaan jawatan ketua pembangkang.
 
Salleh dalam laman blognya berkata Tun Mahathir perlu mengambil kedudukan dalam kepemimpinan pembangkang kerana beliau sudah melaksanakan peranan itu secara ‘de facto’.
 
"DS Dr Wan Azizah tidak membuat sebarang cabaran kepada Tun Dr Mahathir untuk bertanding dalam pilihanraya, tetapi beliau hanya membetulkan kenyataan DSP Salleh bahawa seorang Ketua Pembangkang Parlimen bukanlah boleh dilantik sewenang-wenangnya tetapi mestilah dari kalangan Ahli-Ahli Parlimen yang sedia ada," ujar Fahmi menerusi kenyataan medianya, petang ini.
 
Ujar Fahmi tindakan media Berita Harian memutarbelitkan kenyataan Azizah hanya memalukan Salleh sebagai seorang menteri yang tidak faham prosedur pelantikan seorang ketua pembangkang.
 
"Sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, agak memeranjatkan dan memalukan jika beliau tidak memahami prosedur tersebut, maka saya hanya boleh menggesa pegawai-pegawai beliau agar menasihati beliau mengenai perkara teknikal seperti ini sebelum mengeluarkan beliau kenyataan di masa hadapan. 
 
"Jangan hanya kerana mahu "pukul curi" dan mengadu domba di kalangan pihak pembangkang hingga fakta dan prosedur tidak dijadikan asas," ujarnya lagi.
 
Berita Harian hari ini melaporkan Azizah sebagai mencabar Tun Mahathir.
 
Azizah juga dilaporkan berkata beliau layak dilantik menjadi ketua pembangkang selepas memenangi pilihan raya.
 
“Saya bertanding pilihan raya dan menang kerana dipilih rakyat dan menjadi ketua pembangkang, jadi kamu nilai sendiri,” katanya dipetik akhbar berkenaan.
 
Azizah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanifah di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP).
 
 

Tiada ulasan: