Isnin, 27 Jun 2016

Krisis Brexit: Pelajar Malaysia dapat manfaat jika sambung belajar di UK

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Langkah Britain untuk keluar meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) secara teori menguntungkan pelajar Malaysia yang mahu menyambung pengajian di negara itu ekoran kejatuhan kadar mata wang pound mereka.
 
Menurut penganalisis, Dr Azizuddin Mohd Sani, sektor pendidikan luar negara akan mendapat laba yang tinggi apabila krisis kewangan itu memberikan kelebihan kepada kerajaan untuk terus menghantar pelajar cemerlang ke negara berkenaan.
 
Katanya lagi, nilai tukaran matawang yang meningkat antara pound dan ringgit bakal menyenangkan hidup pelajar yang berada disana.
 
"Secara umumnya, tidak ada kesan malah saya rasa akan lebih baik kalau mata wang mereka jatuh apabila keluar daripada Eropah. 
 
"Sebenarnya bagi kelebihan kepada kita untuk menghantar pelajar kita ke sana. Dan ini ada nilai tambah dari segi itu. Saya tidak nampak kesan yang besar kepada pelajar di sana," kata Dr Azizuddin.
 
Mengulas mengenai kerakyatan UK yang naik mendadak hasil migrasi penduduk sekitar EU menyebabkan negara berkenaan dikatakan mengalami masalah dalam mengawal kos perumahan, perkhidmatan awam dan sektor pekerjaan mereka. 
 
Azizuddin melihat hal itu tidak akan menjejaskan pelajar kerana mereka tidak terlibat dalam mendapatkan permit sebagai penduduk.
 
"Saya tidak nampak apa yang akan beri kesan kepada pelajar Malaysia sebab memang sebelum ini Eropah mengamalkan polisi pendidikan percuma tapi Britain (juga) memang sudah amalkan pendekatan tersebut.
 
"Tapi dari segi pelajaran tidak akan beri kesan kepada kita. Kedatangan pelajar pun bukan berkaitan dengan isu imigran jadi ia isu paling dibincangkan iaitu Brexit, kerana mereka agak anti imigran jadi pelajar saya rasa tidak akan tergolong dalam konteks itu," katanya.
 
Bagaimanapun, kesan Brexit pada Malaysia sebenarnya agak minima dan tidak langsung mempengaruhi ekonomi negara.
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat berkata keputusan UK untuk keluar daripada EU tidak memberi kesan besar terhadap ekonomi Malaysia kerana negara berada di landasan kukuh kerana mempunyai kepelbagaian struktur ekonomi dan lebihan cairan dalam pasaran kewangan negara.
 
Oleh yang demikian, ujar Azizuddin tindakan berani UK meninggalkan kesatuan Eropah sejak bersama kesatuan itu pada 1973 tidak akan menggugat kedudukan negara berkenaan untuk bergerak sendiri. 
 
"Saya rasa dia mampu sebab sebenarnya UK lebih rapat dengan Amerika Syarikat berbanding Eropah, cumanya ekonomi akan terbatas. Sekarang UK mempunyai hubungan baik dengan Kesatuan Eropah dari segi perdagangan, eksport import berjalan lancar. Malah dasar imigrasinya pun berdasarkan tadbir sempadan dan bebas dan penghijrahan berlaku," jelas beliau.
 
Rakyat Britain pada 23 Jun lalu mengundi bagi menentukan masa depan negara itu dalam EU dan sebanyak 51.9 peratus pengundi bersetuju untuk keluar berbanding 48.1 peratus yang mahukan ia kekal.
 
 

Tiada ulasan: