Jumaat, 3 Jun 2016

Kerajaan Pusat digesa tunai janji tangani masalah sumber air di Wilayah Utara

lin guan eng loji sungai dua

(Gambar ihsan Buletin Mutiara)

Roketkini.com
 

GEORGE TOWN: Perubahan cuaca mendadak yang mengakibatkan kemarau teruk di negeri-negeri Wilayah Utara mengundang Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengemukakan tiga langkah yang perlu diambil oleh kerajaan Persekutuan bagi memastikan sumber air yang mencukupi di kawasan tersebut.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata Kerajaan Persekutuan harus melaksanakan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) bagi membawa manfaat kepada penduduk Perak dan Pulau Pinang.

Jelasnya, langkah itu akan membolehkan kedua-dua negeri berkenaan meneroka sumber air mentah sebesar Sungai Muda dan seterusnya berjaya memenuhi permintaan air mentah sehingga tahun 2050.

Selain itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP mencadangkan agar kerja pembalakan di kawasan tadahan air Hutan Simpan Ulu Muda dihentikan serta-merta oleh kerajaan Persekutuan bagi memelihara sumber air di kawasan tersebut.

“Kerajaan juga mesti meyakinkan Kedah untuk mewartakan kawasan tadahan air Hutan Simpan Ulu Muda itu secepat mungkin.

“Selepas itu, kerajaan perlu membayar pampasan kepada Kedah kerana melindungi dan memelihara kawasan yang mengumpul air mentah untuk Perlis, Kedah dan Pulau Pinang,” katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Pakej 12, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di sini pagi tadi.

Selain dua langkah tersebut, Guan Eng menjelaskan bahawa kerajaan Persekutuan juga tidak boleh ‘duduk diam’ dan mesti campur tangan untuk menguruskan sumber air mentah di Utara dengan melakukan kerjasama peringkat serantau antara negeri-negeri berkenaan.

Kerajaan Persekutuan merupakan satu-satunya pihak yang mempunyai kuasa untuk menguruskan perkara itu selaras dengan perjanjian yang ditandatangani bagi Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negara pada 2011.

Perjanjian tersebut, kata Guan Eng, jelas menyatakan bahawa kerajaan Pusat mempunyai kewajipan untuk memenuhi keperluan air mentah di Pulau Pinang dan negeri-negeri Wilayah Utara yang lain.

“Kerajaan Pusat juga menggariskan bahawa matlamat Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) adalah untuk menjadi wilayah ekonomi bertaraf dunia dengan memanfaatkan kekuatan di rantau ini.

“Dengan berbilion-bilion ringgit yang terbabit dan nasib 4 juta penduduk yang menjadi pertaruhan, kita berharap mereka akan bertindak pantas serta mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.

Pakej 12 loji rawatan air Sungai Dua yang dirasmikan oleh Guan Eng tersebut akan merawat 80 peratus sumber air mentah Pulau Pinang serta mempertingkatkan simpanan air rawatan negeri itu kepada 36.3 peratus.

Sejak dibina pada tahun 1973, loji yang merawat air mentah diambil dari Sungai Muda itu telah dinaik taraf sewajarnya sebanyak tujuh kali bagi memenuhi permintaan air yang semakin meningkat oleh penduduk. – Roketkini.com


Tiada ulasan: